KOTA BHARU – Pertubuhan Warisan Pusaka Paduka Cik Siti Wan Kembang Malaysia (PWPPRCSWKM) minta kerajaan mengambil tindakan segera meminta undang-undang berkaitan jenayah penipuan atau scam yang semakin berleluasa kebelakangan ini.
Yang Dipertuanya, Fadzillah Hussin berkata, akta sedia ada memperuntukkan hukuman penjara dan denda yang terlalu ringan serta gagal memberi kesan serik kepada pelaku.
Kata beliau, sindiket penipuan itu, sama ada secara atas talian mahupun bersemuka terus bermaharajalela di Malaysia walaupun pihak berkuasa giat menjalankan tangkapan dan siasatan.
“Hukuman dikenakan ke atas pelaku terlalu ringan, ibarat “tepukan di bahu” sahaja, sedangkan mangsa yang terpedaya dengan penipuan itu menanggung kerugian mencecah jutaan ringgit.
“Setiap minggu kita lihat berita rakyat menjadi mangsa. Ada yang hilang simpanan seumur hidup, ada yang menanggung hutang, malah ada yang trauma dan tertekan.
“Ini berleluasa kerana hukuman sekarang tidak setimpal dengan kesengsaraan yang dialami mangsa,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Justeru, katanya, pertubuhannya akan menghantar cadangan pindaan ke atas beberapa akta berkaitan jenayah scam kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
Katanya, cadangan itu juga akan dihantar serentak kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang & Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Jelas Fadzillah, antara cadangannya kepada kerajaan ialah meningkatkan hukuman penjara kepada sekurang-kurangnya 15 hingga 20 tahun bagi kes scam berskala besar atau melibatkan sindiket.
Menaikkan jumlah denda minimum dan maksimum serta mewajibkan perampasan aset untuk pampasan kepada mangsa, selain menggubal peruntukan hukuman tambahan seperti larangan memegang lesen perniagaan dan menyenaraihitamkan pesalah secara terbuka.
“Kita turut menggesa agar cadangan pindaan ini dibentangkan di Parlimen dalam sidang terdekat sebagai langkah segera melindungi rakyat daripada terus menjadi mangsa penipuan.
“Kegiatan penipuan ini semakin membarah sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem keselamatan kewangan negara.
“Oleh itu, wajar Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Pindaan Akta 574 dan Kanun Tatacara Jenayah dikaji semula,” ujarnya.
Katanya, langkah itu diyakini akan memberi mesej tegas kepada masyarakat bahawa Malaysia tidak akan bertolak ansur terhadap kegiatan penipuan yang merugikan rakyat, meruntuhkan kepercayaan awam dan menjejaskan ekonomi negara. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001