MFL tak ‘goyang’ cabaran Liga A1 Semi-Pro

KUALA LUMPUR: Peningkatan Liga A1 Semi-Pro sehingga dijangka mampu menyaingi kemeriahan Liga Super pada musim ini jelas tidak membuatkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ‘goyang’ sebaliknya badan pengendali liga itu melihat situasi itu sebagai satu perkembangan positif.

Ia diakui Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd yang menganggap bola sepak negara memerlukan liga lapisan kedua yang kuat bagi mengukuhkan lagi ekosistem sekali gus meningkatkan daya kompetitif dalam kalangan pasukan bertanding.

Jelasnya, kebangkitan pasukan yang beraksi di Liga A1 Semi-Pro ini juga memberi petanda betapa mereka juga bersedia untuk ‘dinaikkan pangkat’ ke Liga Super selepas musim berakhir nanti.

“Pada MFL, ini satu perkara yang baik. Kita perlukan liga lapisan kedua yang kuat untuk menolak dan memberi tekanan kepada pasukan yang berada di Liga Super supaya mereka tidak rasa selesa.

“Sebagai contoh, apabila berakhirnya liga dan mereka berada dalam dua, tiga atau empat kedudukan terakhir, mereka sedia maklumkan bahawa mereka takkan tersingkir.

“Tetapi pada musim ini, banyak pasukan yang saya rasa mampu memberi saingan untuk mendapatkan kejuaraan dalam Liga A1 Semi-Pro. Kita ada Perak, Kedah dan beberapa pasukan yang beraksi di Piala FA.

“Saya rasa ini satu perkembangan positif dan merancakkan lagi bola sepak Malaysia sambil turut memberi tekanan kepada pasukan di Liga Super,” kata Shazli.

Terdahulu, BH Sukan melaporkan saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2025/26 yang dijadual membuka tirainya hari ini bakal menjadi ‘hiburan baharu’ untuk disajikan buat penyokong bola sepak tempatan.

Mana tidaknya, saingan liga semi profesional yang kini secara tidak rasminya menjadi saingan divisyen kedua bola sepak domestik selepas pertandingan Liga Super itu dilihat mampu ‘meletup’ selepas 16 pasukan mengesahkan penyertaan bagi musim baharu nanti.

Justeru, tidak mustahil seandainya kemeriahan dan juga sambutan hangat untuk saingan yang dikelolakan Liga Bolasepak Amatur (AFL) itu dapat menyamai sekali gus setaraf dengan kemeriahan dirasai bagi saingan Liga Super musim 2025/26.

Ketika diminta mengulas mengenai perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad mengakui kemeriahan bagi saingan Liga A1 Semi-Pro mula dirasai selepas kehadiran beberapa pasukan negeri dan juga pasukan berasaskan nama tempat pada musim ini.

Jelasnya, beliau melihat penyertaan pasukan yang membawa nama negeri itu turut mengimbau kembali saingan bola sepak pada zaman dahulu dan faktor ini dapat menarik minat penyokong untuk datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *