Tang Jie-Ee Wei cemas sebelum mara ke separuh akhir

KUALA LUMPUR: Beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berdepan detik cemas di set kedua sebelum menempah slot ke separuh akhir Terbuka Macau, hari ini.

Turun selaku pilihan utama kejohanan, pasangan ranking ketiga dunia itu mengesahkan kemaraan selepas menewaskan gandingan Indonesia, Adnan Maulana-Indah Cahya Sari Jamil 21-17, 22-20 dalam tempoh 34 minit pada aksi suku akhir.

Tang Jie-Ee Wei mempamerkan aksi meyakinkan pada set pertama apabila mendahului jauh 11-2 sebelum menoktahkan kemenangan 21-17.

Namun, segala-galanya berubah di set kedua apabila mereka hampir terperangkap dengan kebangkitan lawan biarpun mendahului selesa 15-8.

Pasangan negara yang dilihat terganggu rentaknya, terlepas dua mata akhir pada kedudukan 20-18 sebelum lawan menyamakan mata 20-20 dan memberi tekanan di penghujung perlawanan.

Begitupun, ketenangan Tang Jie-Ee Wei jelas menjadi pemisah apabila mereka mengutip dua mata berturut-turut untuk menamatkan saingan dan mengelak perlawanan diheret ke set penentuan.

Kemenangan meletakkan mereka di landasan tepat untuk memburu final pertama musim ini selepas terkandas di peringkat separuh akhir dalam empat kejohanan terdahulu — Terbuka Malaysia, Terbuka India, Terbuka Indonesia dan Terbuka Jepun.

Untuk aksi separuh akhir esok, mereka bakal berdepan pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *