KUALA LUMPUR – Saksi utama kes rasuah projek terowong dasar laut di Pulau Pinang membabitkan Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, syarikat kenderaan miliknya digunakan untuk pembayaran rasuah kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Ahli perniagaan, G. Gnanaraja, 44, berkata, Guan Eng mengarahkannya untuk menyediakan dan membuka akaun bank bagi Syarikat Bumi Muhibah Capital Holding Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada 10 Ogos 2016 dan pada Ogos 2017 beliau menggunakan syarikat itu untuk pembayaran rasuah kepadanya.
“Semua permintaan untuk penyediaan syarikat dan akaun ini berlaku ketika saya berada bersama Guan Eng dalam kereta dalam perjalanan ke Publika (pusat beli-belah) pada 20 Ogos 2017. Syarikat itu mempunyai satu akaun bank CIMB Bank Berhad.
“Saya mempunyai akses penuh ke atas akaun syarikat kerana hanya saya yang boleh membuat pengeluaran wang di dalam akaun syarikat berkenaan,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang membabitkan Guan Eng.
Saksi pendakwaan ke-37 itu berkata, beliau mengenali Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang ketika itu Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB) sekitar Mei 2017 dan mereka berhubung pada 10 hingga 19 Ogos 2017 bagi berbincang untuk menjadikan beliau (Gnanaraja) sebagai penyerah wang rasuah daripada Zarul Ahmad kepada Guan Eng.
“Datuk Zarul memilih saya sebagai orang perantara untuk penyerahan wang kepada Guan Eng atas kepercayaan Datuk Zarul kepada saya dan juga kerana saya tidak bersangkut paut dengan mana-mana parti pembangkang pada ketika itu,” kata Gnanaraja.
Selain itu, Gnanaraja berkata, beliau dan Zarul Ahmad telah berbincang mengenai dana berjumlah RM2 juta yang hendak diberikannya kepada Guan Eng ketika pertemuan mereka di Hotel Impiana, Ipoh pada 18 Ogos 2017.
“Semasa saya berada di rumah sekitar jam 5 petang pada hari sama (18 Ogos), Datuk Zarul menelefon saya dan meminta saya hadir ke Hotel Eastin Petaling Jaya pada jam 6 petang. Setibanya di hotel itu, Datuk Zarul turun dari kereta dan mengeluarkan dua beg berwarna gelap serta meletakkannya dalam bonet kereta saya.
“Saya tahu kandungan beg tersebut berisi wang kerana Datuk Zarul telah mengatakan “1M” (sambil meletakkan beg pertama) dan “1M” (sambil meletakkan beg yang kedua). “1M” yang disebut oleh Datuk Zarul, saya tahu merujuk kepada 1 milion (1 juta),” katanya.
Gnanaraja berkata, ketika berada di rumahnya, beliau membuka kedua-dua beg itu dan mendapati terdapat banyak ikatan wang tunai RM100.
“Saya tidak mengira ikatan wang di dalam kedua-dua beg itu. Saya sahkan kedua-dua beg itu hanya berada di dalam bilik kerja saya tanpa dialihkan ke mana-mana sehingga saya menerima panggilan daripada Datuk Zarul pada 20 Ogos 2017,” katanya.
Gnanaraja kemudian menerima panggilan telefon daripada Zarul Ahmad pada sebelah pagi 20 Ogos 2017 yang memaklumkan supaya bersiap sedia bersama satu beg berisi wang RM1 juta dan pergi sekitar Hotel Wen Worth, Pudu untuk mengambil Guan Eng.
“Semasa tiba di sekitar hotel itu, saya lihat Guan Eng yang memakai baju rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang berwarna putih berlogo kerajaan negeri Pulau Pinang berjalan masuk ke dalam kereta Datuk Zarul, manakala saya memakai baju batik.
“Semasa di dalam kereta, Guan Eng telah menyapa kami dan bertanya khabar saya dan Datuk Zarul. Guan Eng ada beritahu saya, sebenarnya beliau ingin mengaturkan pertemuan saya bersama seorang individu bernama Datuk Ewein terlebih dahulu, tetapi Guan Eng hendak duduk bersama saya dahulu untuk membincangkan urusan kewangan sulit yang akan disalurkan kepadanya,” katanya.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara jam 12.30 tengah malam dan jam 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 19 Ogos ini. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
