Oleh: Mohd. Shah Abdullah
PERMULAAN takwim baharu Islam pada tanggal 1 Muharram 1447H memang istimewa. Ia satu permulaan menandakan episod hijrah Nabi Muhammad s.a.w. lebih 1,000 tahun yang lampau setelah melalui segala mehnah dan tribulasi menegakkan Islam melalui dakwah dan hikmah.
Sebagai memperingati batu tanda (milestone) tersebut, kira-kira 400 peserta termasuk santri Maahad az-Zein Bogor, Republik Indonesia berhimpun selama lima hari sejak 2 hingga 8 Julai lalu mengikuti acara daurah (pengajian baca kitab dan zikir) secara intensif.
Hadir sama kira-kira 80 peserta dari Malaysia yang berhimpun untuk mengikuti sesi pengajian baca kitab dan zikrullah.
Sesi pengajian baca kitab dipimpin oleh pendakwah dan ulama terkemuka, Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari al-Makki.
Tiga kitab disyarahkan usai solat Subuh, kemudian dua jam menjelang Zohor, selepas solat Asar, selepas solat Maghrib dan Isya’. Ia diselang-selikan dengan bacaan hizib atau kumpulan wirid oleh semua jemaah.
Fokusnya hanya satu – memberikan kefahaman agama atau Tafaquh Fiddin dan pencerahan isu-isu agama seputar aqidah, feqah dan tasawwuf. Semuanya berpusatkan untuk mendidik hati dan kerohanian agar cinta Allah, Rasul, kitabnya dan hadis Nabi s.a.w.
Falsafah cinta agama dan budaya damai dalam beragama amat dititikberatkan kerana inilah nestapa manusia moden kini. Kita kian ketandusan nilai-nilai hidup beragama, keinsanan dan kemanusiaan. Perang, konflik, pembunuhan di sana sini, fitnah, krisis rumah tangga, kejiranan yang kian luntur, dan gejala meremehkan agama semakin berleluasa.

Syeikh Nuruddin nyata membawa bara api Islam yang mudah, ramah dan sejahtera. Beliau tidak pernah mencerca, mencaci dan memaki tetapi menebarkan mesej Islam Rahmatan lil Alamin.
Ibarat seorang doktor, beliau memberikan ubat penawar dalam bentuk kerohanian dan terapi diri. Beliau tidak menggunakan pendekatan seorang hakim yang lazimnya menjatuhkan hukuman tetapi lebih gemar mendidik, mentarbiyah dan menanamkan rasa Cinta Allah dan Rasul secara berterusan.
Santri atau murid pondok pengajian beliau dididik dengan kesantunan, disiplin, tertib dan adab. Maka, tidaklah ganjil suasana di Maahad az-Zein Bogor, para santri senang sekali memberikan khidmat, melayan tetamu dan jemaah yang hadir.
Ini termasuklah menghidangkan sajian dan makanan buat tetamu, semuanya dikerjakan secara sukarela. Biarpun hidangan makanan dan minuman sederhana tetapi tetamu tetap diberikan keutamaan.
Kemudian bila menadah kitab menelaah pelajaran di hadapan guru, mereka duduk dengan tertib, bersedia dengan kitab dan pakaian yang kelihatan seragam, putih bersih dan duduk dengan penuh santun seolah-olah jika burung hinggap di bahu pun pasti berasa selesa.
Syeikh Nuruddin menekankan tarbiyah ruhanniyah atau pendidikan hati. Maka, pembacaan hizib atau wirid selepas solat terutama usai solat Suboh dan solat Maghrib, para santri dan jemaah akan melantunkan untaian zikir yang telah siap disusun.

Ada kalanya bacaan qasidah dan burdah dilantunkan – mesejnya hanya satu, iaitu memuji Allah dan cinta Rasul.
Begitulah suasana Daurah Muharam dan semua kegiatan pendidikan di Maahad az-Zein pada kali ini. Semuanya teratur dan tertib.
Syeikh Nuruddin sebagai pendakwah dan ulama membawa pendekatan wasatiyyah (kesederhanaan), mengutamakan pendidikan hati, memelihara akidah, keimanan dan amalan yang istiqamah.
Cara dan pendekatan Syeikh Nuruddin serta anutan seluruh santri dan jemaah di bawah asuhan beliau tidak pernah lari daripada manhaj Aqidah Ahlul Sunnah wal Jamaah.
Al-Quran dan As-Sunnah sentiasa menjadi paksi teras dalam mendidik umat ketika berdepan dengan segala bentuk ujian, cabaran dan fitnah masa kini.

Mohd. Shah Abdullah merupakan bekas wartawan dan bekas Pensyarah Komunikasi yang mengikuti acara Daurah Muharram di Bogor, Indonesia baru-baru ini.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001