KUALA LUMPUR – Isu kehakiman yang sedang membelenggu kerajaan ketika ini perlu diselesaikan segera kerana impaknya kepada Pakatan Harapan (PH) adalah lebih buruk, termasuk hilang sokongan pengundi asas di bandar sekali gus berupaya mengakibatkan gabungan itu tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Amaran itu dikeluarkan bekas Timbalan Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli sambil menegaskan, tindakan mengetengahkan isu itu bersama sembilan lagi Ahli Parlimen PKR sebelum ini bukan satu bentuk sabotaj kepada parti.
“Kalau kami tak bersuara dan isu ini tidak ditangani dengan baik, kesannya kepada PH adalah lebih teruk. Kesan kepada negara itu lebih teruk kerana pengundi dan rakyat biasa yang percaya negara ini ada peluang untuk melakukan perubahan, dia akan berasa semuanya hilang, semuanya (ahli politik) sama.
“Kalau itulah yang dirasakan oleh rakyat, kalau lepas ini PH kalah (PRU ke-16), kalau (Pengerusi DAP) Gobind Singh Deo nak bercakap pasal kehakiman, ada siapa yang peduli? Saya rasa tiada siapa lagi peduli,” katanya pada Forum Awam: Integriti Kehakiman yang berlangsung dari Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) di sini, malam ini.
Turut menjadi panel pada program itu Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Pengerusi BERSIH, Faisal Aziz; bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Steven Thiru; Peguam Lim Wei Jiet serta Co-Chairperson of the Bar Council Constitutional Law Committee, Gregory Das, sementara Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, apa yang dilakukan mereka adalah satu amaran awal kepada kerajaan dan sepatutnya usaha digerakkan mereka perlu disokong oleh semua Ahli Parlimen kerajaan.
“Kalau perkara ini tak diselesaikan segera dan pada masa itu baru dia ingat ‘sembilan jahanam’ ini cuba untuk melakukan sesuatu, dia bukan mahu sabotaj. Sebenarnya amaran awal yang kami bagi.
“Lebih baik dengar kami yang senior ini daripada (pihak lain yang kononnya) cuba untuk melindungi Perdana Menteri, secara politiknya. Sebab Perdana Menteri, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim ini tidak memerlukan perlindungan. Dia hanya perlu lakukan perkara yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata, perkara yang terbaik untuk dilakukan Anwar adalah memastikan kalau ada seseorang hakim yang sudah pun dipersoalkan kredibilitinya, gugurkan namanya daripada proses pencalonan.
“(Kemudian) kamu siasat dulu dan yang lain itu orang tak marah sangatlah. Kalau itu berlaku, ia akan menguatkan Perdana Menteri,” katanya. – Laporan Berita Harian
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001