LONDON – Iga Swiatek mara ke final Wimbledon sulungnya awal pagi tadi dengan penuh bergaya, namun harapan untuk bertemu Aryna Sabalenka pada perlawanan impian musnah apabila pilihan utama itu dikejutkan oleh Amanda Anisimova.
Juara Grand Slam lima kali, Swiatek – yang sebelum ini tidak dikenali kerana kehebatannya di gelanggang rumput – menewaskan bekas juara Olimpik, Belinda Bencic 6-2, 6-0 dalam hanya 71 minit di Gelanggang Utama.
“Sejujurnya, saya tidak pernah bermimpi pun untuk bermain di final Wimbledon,” kata pemain pilihan kelapan berusia 24 tahun itu.
“Jadi saya amat teruja dan bangga dengan diri saya. Saya pun tidak pasti… tenis sentiasa memberi kejutan.
“Saya sangka saya sudah harungi segala-galanya di tengah gelanggang, tetapi rupa-rupanya belum pernah bermain dengan baik di atas permukaan rumput. Ini kali pertama. Saya amat teruja dan menikmatinya.”
Swiatek menang kelima-lima final Grand Slam yang disertainya, namun halangan seterusnya bagi gelaran keenam adalah Anisimova, dalam pertemuan profesional pertama mereka.
Anisimova, pilihan ke-13 dari Amerika Syarikat, memadam impian Sabalenka untuk menjulang trofi Wimbledon dengan kemenangan mendebarkan 6-4, 4-6, 6-4.
Pemain nombor satu dunia, Sabalenka sebelum ini mara ke tiga final Grand Slam berturut-turut, namun kali ini tumbang kepada Anisimova dalam pertarungan sengit yang berlangsung lebih dua setengah jam.
“Ini rasa macam mimpi, sejujurnya,” kata Anisimova. “Aryna seorang lawan yang sangat hebat dan saya rasa macam mahu pengsan di gelanggang. Saya sendiri tidak tahu macam mana saya boleh menang.
“Kami sudah banyak kali bertarung dengan sengit dan untuk muncul sebagai pemenang serta mara ke final Wimbledon adalah sesuatu yang luar biasa.”
Pemain berusia 23 tahun itu kini mencatat rekod enam kemenangan dan tiga kekalahan berdepan Sabalenka.
Anisimova pernah dianggap sebagai sensasi remaja selepas mara ke separuh akhir Terbuka Perancis 2019 ketika berusia hanya 17 tahun.
Namun pada 2023, dia berehat selama lapan bulan daripada kejohanan kerana isu kesihatan mental, hingga terkeluar daripada kelompok 400 pemain terbaik dunia.
Awal pagi tadi, Anisimova muncul pemain kedua dalam era Terbuka yang berjaya mara ke final Grand Slam selepas tewas di pusingan kelayakan pada edisi sebelumnya.
“Kalau anda beritahu saya sebelum ini yang saya akan ke final Wimbledon, saya pasti tidak percaya. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata,” katanya. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001