Isu Kebajikan Gajah Malaysia di Jepun Cetus Perhatian, Dakwaan Penjagaan Tidak Memuaskan

PETALING JAYA – Penempatan tiga gajah milik Malaysia di Jepun kini mencetuskan perdebatan hangat apabila timbul dakwaan mengenai tahap kebajikan haiwan tersebut yang dikatakan tidak berada pada standard sewajarnya, sekali gus mengundang reaksi emosi dalam kalangan rakyat negara ini.

Perkara itu dibangkitkan seorang rakyat Malaysia, Nur Diyana Nordin, yang berkongsi pengalamannya selepas melawat Zoo Tennoji di Jepun dan melihat sendiri keadaan tiga gajah berkenaan.

Menurut beliau, lawatan itu meninggalkan kesan mendalam apabila mendapati keadaan haiwan itu jauh berbeza berbanding standard penjagaan yang lazim dilihat di Malaysia, khususnya di pusat konservasi tempatan.

Tiga gajah berkenaan, dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat dilaporkan ditempatkan dalam persekitaran yang disifatkan panas serta kering, dengan kekurangan elemen semula jadi seperti tumbuhan hijau yang mencukupi.

“Sepanjang tempoh saya berada di sana, saya tidak melihat sebarang aktiviti pemberian makanan dilakukan dan keadaan kawasan kandang juga kelihatan agak tandus,” katanya.

Beliau turut mendakwa salah seekor daripada gajah tersebut menunjukkan tanda fizikal kurang sihat, sehingga menimbulkan kebimbangan kemungkinan tekanan akibat persekitaran yang tidak sesuai.

Menurutnya lagi, situasi itu jelas berbeza dengan pendekatan penjagaan di Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah yang menitikberatkan aspek habitat semula jadi, kesejahteraan haiwan serta interaksi terkawal antara pengunjung dan haiwan.

“Di Malaysia, pendekatan lebih mesra alam dan berfokus kepada kebajikan haiwan. Persekitaran yang lebih hampir kepada habitat asal memberi kesan besar kepada kesihatan dan tingkah laku gajah,” jelasnya.

Susulan pemerhatian tersebut, beliau berpandangan ketiga-tiga gajah itu wajar dipertimbangkan untuk dibawa pulang ke Malaysia, mengambil kira perbezaan pendekatan penjagaan antara kedua-dua negara.

Isu ini turut membuka perbincangan lebih luas mengenai standard kebajikan haiwan dalam program pertukaran antarabangsa, khususnya melibatkan spesies sensitif seperti gajah yang memerlukan ruang luas serta persekitaran sesuai untuk hidup dengan sihat.

Untuk rekod, penempatan gajah di Jepun adalah sebahagian daripada kerjasama antara institusi zoo kedua-dua negara, yang bertujuan memperkukuh usaha pemuliharaan serta perkongsian kepakaran dalam pengurusan hidupan liar.

Dalam perjanjian itu, aspek kebajikan haiwan menjadi antara keutamaan, termasuk penyediaan persekitaran yang sesuai, pemantauan kesihatan berkala serta penjagaan profesional oleh pakar terlatih.

Bagaimanapun, dakwaan yang tular ini dijangka mendorong pihak berkuasa berkaitan untuk menilai semula keadaan sebenar serta memastikan kebajikan haiwan itu sentiasa terpelihara selaras dengan komitmen antarabangsa.

Pemerhati industri turut menekankan, isu kebajikan haiwan bukan sahaja melibatkan imej institusi terlibat, malah mencerminkan komitmen sesebuah negara terhadap prinsip pemuliharaan dan etika dalam pengurusan hidupan liar.

Berita ini diolah semula oleh Siti Khadijah Manudin, pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *