Feri karam di Bali: Seorang rakyat Malaysia disahkan maut – Polis Indonesia

BANYUWANGI – Pasukan Identifikasi Mangsa Bencana (DVI) Polis Daerah Jawa Timur dilaporkan sudah mengenal pasti tiga daripada empat mangsa tragedi kapal karam KMP Tunu Pratama Jaya, termasuk seorang rakyat Malaysia.

Ketua Subdit Dokpol Polda Jawa Timur, AKBP Adam Bimantoro yang dipetik ANTARA News berkata, seorang mangsa rakyat Malaysia disahkan sebagai Fauzey Awang, 58.

Ia berdasarkan data perubatan serta barang milik mangsa seperti dompet dan kad pengenalan diri.

Mangsa lain yang dikenal pasti ialah Noval Hardiansyah, 15, warga tempatan dari Desa/Kecamatan Singojuruh, Kabupaten Banyuwangi.

“Pengenalpastian dilakukan melalui pemeriksaan perubatan dan barang milik mangsa,” katanya dalam sidang media di Hospital RSUD Blambangan, Banyuwangi, malam tadi.

Turut dikenal pasti, Sofyan Wibowo, 18, dari Kecamatan Susukan, Kabupaten Banjarnegara, Jawa Tengah, juga melalui pemeriksaan gigi serta barangan milik peribadi.

“Satu lagi jenazah masih belum dikenal pasti. Ia adalah wanita yang ditemui memakai seluar pendek jeans berwarna biru di Pantai Plengkung, kawasan Taman Nasional Alas Purwo, Kecamatan Tegaldlimo, Banyuwangi pada Khamis (10 Julai),” jelasnya.

Berdasarkan data daripada Posko Operasi SAR dan Pasukan SAR Gabungan di Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi, sehingga malam Khamis, iaitu hari kesembilan operasi pencarian, seramai 15 mangsa disahkan meninggal dunia (termasuk satu dalam proses identifikasi).

Sebelum ini, 30 orang ditemui selamat, manakala 20 orang lagi masih hilang dan usaha pencarian masih diteruskan.

KMP Tunu Pratama Jaya yang membawa 53 penumpang, 12 anak kapal serta 22 unit kenderaan dilaporkan karam di perairan Selat Bali pada Rabu, 2 Julai lalu. – ANTARA News

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *