KUALA SELANGOR – Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa tiada campur tangan pihak luar selain Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) bagi memilih ketua hakim negara baharu.
Bercakap kepada pemberita, beliau berkata SPK perlu diberi ruang membuat pilihan jika mahu mendapatkan ketua hakim negara yang terbaik.
“Suruhanjaya mempunyai ahli cukup untuk mereka buat penilaian terhadap prestasi,” katanya selepas merasmikan Maha Klinik di Puncak Alam.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat akan bersara wajib pada esok.
Tengku Maimun yang dilantik pada 2 Mei 2019 menjadi wanita pertama memegang jawatan berkenaan.
Kenyataan Mahathir itu menyusul perkembangan badan kehakiman yang kini berdepan beberapa siri persaraan.
Selain Tengku Maimun, calon penggantinya, Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim pula akan bersara sehari kemudian, manakala Hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan akan bersara Ogos ini.
Tiada seorang pun daripada mereka diberikan lanjutan.
Anggota undang-undang, termasuk Badan Peguam menggesa ketiga-tiga tempoh perkhidmatan dilanjutkan kerana bimbang kemungkinan campur tangan politik dalam pelantikan dan kenaikan pangkat kehakiman.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
