PETALING JAYA – Datuk Mohd Amar Abdullah akan membuat keputusan berhubung pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden PAS selepas menerima pemakluman jawatankuasa pemilihan pusat.
Mengulas pencalonan Pemuda PAS Pengkalan Chepa, Naib Presiden parti itu menjelaskan jawatankuasa terbabit akan membincangkan setiap cadangan daripada mesyuarat di seluruh kawasan.
“Sekiranya cukup pencalonan (yang menyokong), maka jawatankuasa pemilih akan menghubungi calon dicadangkan itu.
“Mereka (jawatankuasa) akan beritahu kita sekiranya cukup syarat. Jika tidak cukup syarat mereka (jawatankuasa) tidak akan beritahu kita,” katanya menurut Berita Harian.
Ditanya sama ada beliau menerima pencalonan itu, Amar berkata, beliau perlu tunggu surat daripada jawatankuasa berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan Amar yang juga Speaker DUN Kelantan dicalonkan bagi jawatan Timbalan Presiden untuk pemilihan parti dijangka September ini.
Cadangan itu dibawa Ketua Penerangan Pemuda PAS Pengkalan Chepa, Mohamad Sazwan Mohd Sakri dan disokong sebulat suara seluruh perwakilan sayap berkenaan.
Jawatan Timbalan Presiden PAS kini disandang Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Kali terakhir jawatan itu dipertandingkan pada pemilihan 2015, menyaksikan Tuan Ibrahim menewaskan penyandang Datuk Seri Mohamad Sabu yang selepas itu keluar PAS untuk menubuhkan parti Amanah.
Nik Mohd Amar antara tiga penyandang jawatan Naib Presiden PAS, selain Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001