Peluru berpandu halimunan Iran musnah mitos kekebalan Israel

TEHRAN – Kementerian Pertahanan Iran mengumumkan penggunaan peluru berpandu baharu yang tidak dapat dikesan buat kali pertama dalam serangan ke atas sebuah fasiliti perisikan Israel.

Iran menyatakan bahawa serangan itu berjaya menembusi sistem pertahanan udara berlapis yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS).

Jurucakap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral Reza Talaei-Nik berkata semalam: “Dalam serangan hari ini, kami telah menggunakan peluru berpandu yang tidak dapat dijejaki atau dipintas.”

Beliau menyifatkan serangan itu sebagai kejutan kepada musuh dan menegaskan bahawa lebih banyak lagi serangan seperti itu akan berlaku.

Jurucakap itu menekankan bahawa sasaran telah berjaya dihentam dengan peluru berpandu tepat, walaupun terdapat “lapisan pertahanan berat” yang melindungi fasiliti Israel berkenaan.

Talaei-Nik menyatakan bahawa serangan tersebut membuktikan kelemahan Israel dalam sistem perisikan dan keselamatan yang selama ini dianggap paling canggih di rantau tersebut.

“Walaupun bertahun-tahun mendabik dada mengenai keunggulan perisikan mereka, kini sebuah pusat keselamatan dan perisikan Israel telah diserang secara langsung,” katanya.

Talaei-Nik turut memberi amaran bahawa Israel tidak bersedia untuk menghadapi konflik yang berpanjangan.

“Berdasarkan pengalaman selama 75 tahun serta pelbagai faktor ketenteraan dan bukan ketenteraan serta pertimbangan strategik lain, rejim Zionis tidak mampu bertahan dalam perang yang berpanjangan,” katanya.

Beliau menambah bahawa angkatan tentera Iran telah dilengkapkan terlebih dahulu dengan senjata dan peralatan canggih sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan konflik.

“Banyak lagi sistem canggih kami masih belum pun digunakan,” katanya. – IRNA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *