Wisma Putra nasihat rakyat Malaysia di Iran untuk keluar segera

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia yang masih berada di Iran agar meninggalkan negara tersebut dengan serta merta melalui apa jua kaedah selamat dan tersedia.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata nasihat dikeluarkan susulan situasi yang kian meruncing antara Iran dan Israel sejak Jumaat.

“Semua rakyat Malaysia yang berada di Iran adalah dinasihatkan agar meninggalkan negara tersebut dengan serta-merta melalui apa jua kaedah selamat dan tersedia.

“Situasi semasa adalah sangat tidak menentu dan berpotensi menjadi lebih buruk tanpa sebarang amaran awal, keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia kekal sebagai keutamaan Kementerian ini,” katanya.

Tambahnya, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, kerajaan turut memantau rapi perkembangan keselamatan di Republik Islam itu.

“Usaha ini telah dipertingkatkan susulan tindakan agresif rejim Israel terhadap Iran pada 13 Jun 2025 yang telah memburukkan lagi ketegangan secara ketara di rantau tersebut,” tambahnya.

Kenyataan tersebut turut mengesahkan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran terus berhubung rapat dengan semua rakyat Malaysia yang telah berdaftar di Iran dan disahkan selamat.

“Kedutaan Besar Malaysia akan terus menyediakan bantuan konsular yang diperlukan bagi memudahkan proses perjalanan mereka dari Tehran,” katanya.

Sekiranya berlaku kecemasan, rakyat Malaysia di Iran boleh menghubungi +98 21 8807 2444, +98 21 8807 8606, +98 933 535 2602 atau menghantar e-mel kepada mwtehran@kln.gov.my / mwconsular.teh@gmail.com.

Alamat Kedutaan Besar Malaysia Tehran ialah No.25, 2nd Alley, North Zarafshan St, Shahrak-e-Gharb.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *