Sekretariat Orang Melayu mahu polis siasat dalang di sebalik pertuduhan ke atas Yusoff Rawther

PUTRAJAYA – Rakyat menyambut baik keputusan mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, melepas dan membebaskan Muhammed Yusoff Rawther dari dua pertuduhan jenayah.

Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu, Datuk Wira Marzuki Yahya berkata, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie di akhir pendakwaan bagi pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis dan dua pucuk pistol tiruan.

“Hari ini rakyat Malaysia bersyukur selepas mendapat perkhabaran baik dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang melepas dan membebaskan saudara Muhammed Yusoff tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengedar dadah kanabis dan memiliki dua pistol tiruan.

“Dari awal penahanannya pada September 2024 itu, kita menjangka ia adalah perangkap pihak tertentu untuk menutup mulut Muhammed Yusoff yang memfailkan saman sivil ke atas Anwar Ibrahim atas tuduhan gangguan seksual ketika bekerja sebagai pembantu penyelidik pada tahun 2018.

“Kita juga pelik kenapa tiba-tiba sepasukan polis mengeledah kereta milik Muhammed Yusoff dan menemui dua pucuk pistol tiruan serta sejumlah dadah kanabis, yang dikatakan milik anak muda ini?

“Ini semua adalah perangkap pihak tertentu yang mahu Muhammed Yusoff dipenjarakan atas kesalahan memiliki pistol tiruan dan dadah supaya kes saman sivilnya ke atas Anwar tidak dapat diteruskan,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Hari ini, bekas pembantu penyelidik itu dilepas dan dibebaskan tanpa membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Muhammed Yusoff diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman.

Pada 28 April lalu, pendakwaan menutup kes selepas memanggil 13 saksi dalam perbicaraan yang bermula pada 7 April.

Dalam pada itu, Marzuki menggesa polis menjalankan siasatan terperinci dengan adil dan telus untuk mengetahui siapa dalang di sebalik kes penahanan serta pertuduhan jenayah berat ke atas Muhammed Yusof.

“Hari ini, selepas lebih sembilan bulan Muhammed Yusoff berada dalam penjara, dengan jiwa dan mentalnya tertekan kerana kes ini tidak dapat diikat jamin, Mahkamah Tinggi telah membuktikan beliau tidak bersalah.

“Tidak adil menganiayai orang yang tidak bersalah dengan tuduhan jenayah dan meringkuk di penjara dalam tempoh yang agak lama.

“Polis tidak perlu takut kepada pemimpin politik, apatah lagi pemerintah yang memerintah kerajaan. Polis perlu telus dalam apa saja siasatan walaupun ia melibatkan pemimpin kerajaan, sesuai dengan Moto: Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada,” ujar beliau. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *