KOTA BHARU – Syarikat Kenari Utara menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya menggunakan khidmat pemandu lori sebagai pemandu gantian untuk menghantar pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pegawai Operasi syarikat itu, Mohd Nazri Nawi, meluahkan kekecewaan terhadap tuduhan netizen tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa syarikat berkenaan menggunakan khidmat seorang pemandu berusia 52 tahun yang mempunyai pengalaman luas memandu bas ekspres dan tiada sebarang rekod kesalahan berkaitan dadah atau jenayah.
“Kami memang menafikan perkara itu kerana pemandu yang berasal dari Besut itu seorang yang berpengalaman,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Kuala Krai pada Isnin.
Mohd Nazri turut menjelaskan bahawa kenderaan itu sepatutnya dikendalikan oleh pemandu tetap, namun individu tersebut bercuti kerana urusan keluarga, justeru memerlukan pemandu gantian.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Nazri sebelum itu turut menyatakan kesediaan Kenari Utara untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung nahas bas yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, awal pagi Isnin.
Beliau juga memaklumkan kedua-dua pemandu bas yang terlibat dalam nahas tersebut, masing-masing berusia 39 dan 52 tahun, berasal dari Besut, Terengganu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001