Oleh: Mohd. Shah Abdullah
PERISTIWA nahas maut melibatkan 16 kematian pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) satu tragedi pilu dan amat sayu.
Kita kehilangan putera-puteri anak bangsa – serentak 16 orang bukan kerana peperangan, pengeboman atau akibat fatal yang lain kecuali nahas jalan raya yang entah kali ke berapa?
Mati itu pasti, cuma cara kematian dan bila masanya tiba, selama-lamanya kita tidak pasti.
Ada yang kata, ini bukan kemalangan maut, tetapi pembunuhan.
Ikutlah cara mana kita mentafsirkan, mereka yang terlibat sudah berada di alam barzakh. Ada yang masih selamat dan dikhabarkan dirawat di zon kritikal dan ada yang cedera.
Pokoknya, ramai yang terlibat. Puncanya, kenderaan berat seperti bas persiaran.
Tiada jaminan kita menaiki bas persiaran akan selamat atau apa jenis kenderaan sekalipun menjamin keselamatan.
Seperti biasa kita akan mendengar ungkapan klise “siasatan terperinci”, “tubuh suruhanjaya”, “tindakan tegas” dan segala kenyataan seolah-olah akan bertindak pantas dan teramat tegas
Seperti kelaziman juga, hari bertukar minggu, bertukar bulan lama kelamaan tragedi ini bakal hilang dan dilupakan.
Apabila airmata pilu dan syahdu kering, segala syor dan cadangan dianggap ‘khalas’ (selesai).
Begitulah nampaknya tragedi ini akan ditangani.
Sebagai seorang bapa yang mempunyai anak-anak remaja dan warganegara yang prihatin, saya hanya mampu mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa.
Saya tetap mendoakan roh anak-anak yang berpulang ke negeri abadi dicucuri rahmat dan dihimpunkan bersama golongan orang yang soleh.
Saya percaya setiap kejadian memiliki hikmah dan ibrah untuk dipelajari.
Cuma untuk menyaksikan sebuah bentuk keadilan tertegak dalam nahas tragedi seperti ini, saya hanya mampu memejamkan mata dan menarik nafas panjang.
Keadilan hanya terlaksana pada hari perhitungan kelak.
Di sini, keadilan…saya tidak dapat meneruskan ayat ini…
Alfatihah buat seluruh arwah yang berpulang ke rahmatullah dalam nahas yang sungguh pilu ini.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001