TANGKAK – “Kalau dia meninggal sebab sakit, saya boleh terima lagi. Tapi, ini dia pergi dalam keadaan sebegitu. Itulah buatkan saya tidak boleh terima.”
Demikian luahan bapa seorang wanita yang maut selepas dikelar suaminya si rumah mereka di Taman Cahaya, Bukit Gambir, petang Isnin lalu, dipetik laporan Berita Harian.
Junus Kassim, 74, berkata demikian sejurus menatap wajah arwah anak perempuannya, Iecah, 34, yang tiba di rumahnya jam 6.45 petang, semalam.
Kesedihan jelas terpancar di wajah bapa kepada empat anak sehingga ahli keluarga terpaksa memapah serta menenangkan keadaannya.
Selain itu, ibu Allahyarhamah, Fatimah Seman, 63, turut menangis sebaik diberi peluang menatap wajah arwah anak kedua daripada empat beradik itu untuk kali terakhir.
Dalam pada itu, air mata mengiringi pengebumian arwah ketika dibawa ke tanah perkuburan Islam Kampung Durian Chondong untuk disemadikan.
Terdahulu, van membawa jenazah Iecah tiba dari Hospital Melaka. Kira-kira 200 ahli keluarga, saudara terdekat serta penduduk kampung berkumpul di pekarangan rumah bagi menyambut ketibaan jenazah.
Suasana hiba apabila jenazah dibawa ke dalam rumah sebelum disolatkan yang disertai lebih 50 jemaah.
Jenazah Allahyarhamah Iecah selamat disemadikan jam 8 malam tadi.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib mengesahkan kejadian seorang wanita maut dikelar suaminya angkara masalah rumah tangga.
Pisau pemotong sayur yang disyaki digunakan ditemui di sisi jenazah yang diselimutkan dalam rumah pasangan terbabit.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001