KEMAMAN – Seorang pelajar lelaki di sebuah pusat tahfiz di daerah ini mendakwa ditampar beberapa kali oleh warden selepas didapati memakan roti tanpa kebenaran sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kiri dahinya.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitarjam 3.45 petang pada 26 April lalu dalam bilik asrama pusat tahfiz berkenaan.
Menurutnya, mangsa berusia 16 tahun itu memaklumkan dia ditampar suspek kerana telah makan beberapa keping roti keping yang masih dalam bungkusan dan disimpan untuk sarapan keesokan hari tanpa kebenaran.
“Mangsa dikatakan telah melanggar peraturan pusat pengajian berkenaan. Akibat insiden itu, dia mengalami kecederaan di bahagian kiri dahi,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Mohd Razi berkata, mangsa telah membuat laporan polis pada jam 9.50 pagi keesokan harinya sebelum menerima rawatan di Hospital Kemaman.
“Laporan pemeriksaan awal perubatan mangsa telah diperoleh dan keterangan daripada suspek yang berusia 41 tahun turut diambil.
“Berdasarkan maklumat, suspek dilantik sebagai warden di pusat tahfiz berkenaan sejak Disember tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001