KUALA LUMPUR – Beberapa alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) sepakat berganding bahu menubuhkan Koperasi Graduan UiTM Berhad (UiTM GrandCoop), sebagai platform pembangunan ekonomi baharu orang Melayu dan bumiputera.
Menurut Setiausaha penaja UiTM GrandCoop, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, sebilangan besar mereka adalah tokoh korporat, pentadbiran, profesional dan pendidikan tersohor negara yang merupakan graduan daripada Dewan Latehan RIDA, Maktab MARA, Institut Teknologi MARA (ITM) dan UiTM.
Katanya, mereka memulakan satu inisiatif dengan menggabungkan pelbagai kepakaran bagi menubuhkan platform berkenaan.
“Petang semalam telah berlangsung Mesyuarat Agung Permulaan Koperasi Graduan UiTM Berhad di Banquet Hall, The Royal Selangor Golf Club Kuala Lumpur bagi menyokong usaha menubuh dan seterusnya mengemukakan pendaftaran kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Mesyuarat Agung Permulaan ini telah memilih barisan tokoh dari pelbagai bidang dan latar belakang sebagai peneraju awal menggerakkan usaha ini,” katanya yang menyenaraikan barisan kepimpinan UiTM GrandCoop kepada media.
Barisan kepimpinan seramai 15 orang itu, yang dilantik melalui Mesyuarat Agung Permulaan semalam ialah Tan Sri Mohd Ibrahim Mohd Zain selaku pengerusi, diikuti Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah sebagai Timbalan Pengerusi.
Nasrul Ali Hasan yang merupakan Pensyarah Universiti Kuala Lumpur dan juga Pengarah Pengarah MSQ Engineering & Solution Sdn. Bhd., dilantik sebagai Setiausaha.
Mantan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ir. Mohd Zin Mohamed dilantik Bendahari, manakala Anggota Lembaga Koperasi ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Datuk Seri Ibrahim Ahmad; mantan Ketua Polis Melaka, Datuk Seri Ayub Yaakob; dan mantan Ahli Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), Prof. Datuk Seri Dr. Ir. Ts. Abdul Rashid Maidin.
Turut dilantik sebagai Anggota Lembaga Koperasi ialah Presuden Persatuan Alumni UiTM Malaysia, Datuk Zaini Hassan; Pengasas dan juga Pengarah Urusan Kumpulan ZIKAY Group Berhad, Datuk Mohd Khay Ibrahim; Pengerusi Eksekutif Yayasan Kasih Tauhid, Fatini Yaacob; Peguam dan Usahanita, Datuk Nadia Marni Mat Zin; mantan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Johan Abdullah.
Selain itu, Anggota Lembaga Koperasi turut menyaksikan pelantikan Perunding Kewangan Zenith Aim Sdn. Bhd, Datuk Ahmad Zahar Mohd Zaman; mantan Timbalan Pengarah Hal Ehwal Akademik dan Pensyarah Fakulti Kejuruteraan UiTM yang juga Dekan Fakulti Kejuruteraan Universiti Al-Madinah Antarabangsa (MEDIU), Prof. Ir. Dr. Wan Mahmood Wan Ab. Majid; dan Pengerusi BR 2.0 Koperasi Rakyat Berhad, Datuk Dr. Abd. Rani Lebai Jaafar.
Menurut Nasrul Ali Hasan, mesyuarat itu turut dihadiri pegawai SKM, Harith Hamidi Muhammad Isa bagi memastikan perjalanan dan aturan mesyuarat menepati kehendak suruhanjaya itu.
“Bersama menyertai Mesyuarat Agung Permulaan Koperasi Graduan UiTM Berhad ini 35 graduan dan alumni UiTM serta 10 pemerhati.
“Koperasi ini akan menjalankan aktiviti perniagaan selepas mendapat kelulusan SKM dalam tempoh masa terdekat dengan memberi fokus kepada beberapa teras perniagaan yang menjadi tumpuan termasuk kecerdasan buatan (AI), pembangunan teknologi hijau, pengurusan hartanah serta bidang pelancongan dan perhotelan.
“Mengikut rekod, sejak penubuhan UiTM, ada lebih satu juta graduan, dan kita harapkan ini akan mendapat sokongan mereka untuk bersama menggembeling Kemahiran dan kepakaran dalam melonjakkan kembali ekonomi orang Melayu serta bumiputera pada masa depan,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001