KOTA BHARU – UMNO Kelantan hari ini mengecam tindakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mempersoalkan kenyataan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Yusoff Mamat berhubung laporan usahawan kosmetik dan pempengaruh di negeri itu disyaki terbabit dengan kegiatan dadah dan penggubahan wang haram.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, beliau menyedari kenyataan ADUN Melor, Wan Rohaimi Wan Daud itu selepas mengikuti Perbahasan Titah Diraja Dewan Undangan Negeri Kelantan semalam menerusi siaran Youtube Kelantan TV.
Katanya, beliau terpanggil untuk merujuk kepada kenyataan ADUN terbabit terhadap Ketua Polis Negeri dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Jelas beliau, antara kenyataan Wan Rohaimi ialah, “(Pada) 22 Mac (2025) Ketua Polis Kelantan buat kenyataan Pempengaruh Usahawan Kosmetik jadi ketua sindiket jual dadah, tak dak data, tak dak fakta. Saya tertanya-tanya Ketua Polis ni nak menjual cerita sensasi ataupun nak menjadi penguatkuasa atau penjawat awam yang mempunyai disiplin tentang data?
Ditambah pula dengan kenyataan, “empat hari lepas, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayub Khan mengulang data yang sama, kita duk fikir bakpo (kenapa) bersungguh sangat, dan mengambil satu cebisan yang kecil untuk memberikan gambaran yang salah, sebab itu saya kata, kalau nak sebut, sebut semualah, bila kita tengok baru kita perasan, oh barangkali hari Sabtu ni adalah Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi DUN Ayer Kuning”.
“Pada saya, Wan Rohaimi telah secara melulu dan tidak cermat bilamana menuduh Ketua Polis Kelantan dan Timbalan Ketua Polis Negara sengaja mengeluarkan kenyataan negatif mengenai negeri ini untuk tujuan pilihan raya di (DUN) Ayer Kuning, Tapah, Perak yang bakal berlangsung pada 26 April ini.
“Ketua Polis Kelantan dan Timbalan Ketua Polis Negara serta keseluruhan pasukan polis merupakan penjawat awam yang tertakluk kepada peraturan dan bertugas untuk menjaga keselamatan negara, adalah tidak wajar mempertikaikan kenyataan dikeluarkan oleh polis mengenai bidang tugas mereka dalam usaha memberi kesedaran dan membanteras jenayah di kalangan masyarakat.
“Pada saya juga, ia satu tuduhan bersifat bacul dan amat berat kepada polis apabila Wan Rohaimi mengaitkan kenyataan yang dikeluarkan Ketua Polis Negeri Kelantan dan Timbalan Ketua Polis Negara itu bermotifkan politik, sambil berlindung di sebalik ‘imuniti’ Dewan Undangan Negeri Kelantan,” ujar beliau dalam kenyataannya kepada media.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Machang mengecam kenyataan Wan Rohaimi dan mencabarnya untuk mengulang tuduhan itu sekali lagi di luar dewan bagi menunjukkan kebertanggungjawaban di atas kenyataan jahat yang memberi persepsi buruk kepada penjawat awam dan Kerajaan Perpaduan hari ini. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
