Oleh: Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa
1. Kewajipan Haji dan Syarat Pelaksanaannya
IBADAH haji adalah rukun Islam yang wajib dilaksanakan bagi setiap Muslim yang memenuhi syarat-syarat tertentu seperti Islam, baligh, berakal, merdeka dan berkemampuan dari segi kesihatan, kewangan serta keselamatan perjalanan.
Kewajipan ini dinyatakan secara jelas dalam firman Allah SWT:
“Dan (di antara) kewajiban manusia terhadap Allah adalah melaksanakan ibadah haji ke Baitullah, iaitu bagi orang-orang yang mampu mengadakan perjalanan ke sana…” (Ali ‘Imran: 97).¹
Kewajipan haji jika memenuhi segala syarat yang ditetapkan adalah bersifat segera (fauran) menurut pandangan jumhur ulama.2 Menangguhkannya adalah satu kesalahan syarie.
Keuzuran yang Diterima Syara’
Terdapat keuzuran yang diterima oleh syarak bagi menangguhkan pelaksanaan haji. Ia terdiri daripada tiga kategori keuzuran atau pengecualian, iaitu;
a. Keuzuran Syar‘ie (الأعذار الشرعية): meliputi sakit, ketidakseimbangan kewangan, ketidakselamatan perjalanan dan sebagainya.3
b. Keuzuran Pentadbiran (الأعذار التنظيمية): seperti masalah visa, kekurangan kuota, atau isu teknikal yang berkait pengurusan oleh pihak berkuasa.4
c. Bencana dan Nawazil (الأعذار بسبب الكوارث والنوازل): seperti pandemik, gempa bumi, banjir besar dan seumpamanya.5
3. Larangan Menangguhkan Haji Tanpa Keuzuran
Selain daripada keuzuran di atas, Islam melarang mana-mana individu yang memenuhi syarat untuk menunaikan ibadah haji menangguhkannya kerana Rasullah s.a.w bersabda
“Segeralah melakukan haji, kerana seseorang tidak tahu apa yang akan menimpanya kelak”.⁶
Maka, penangguhan tanpa sebab syar‘ie adalah ditegah secara jelas, malah berdosa kepada yang mampu tetapi menangguhkannya.
4. Hujah Politik dan Penggunaan Qiyas Peristiwa Hudaibiyyah
Dalam konteks semasa, terdapat pihak yang berhujah bahawa menangguhkan ibadah haji bagi tujuan terlibat dalam pilihan raya kecil (PRK)— atas alasan ingin “memenangkan Islam lebih utama”, perlu dibuat analisis mendalam. Perbandingan ini sering dikaitkan dengan penangguhan umrah dalam Perjanjian Hudaibiyah pada tahun ke-6 hijrah. Walaupun kes ini dirujuk kepada ibadah umrah namun secara umum boleh dijadikan bahan kajian juga terhadap ibadah haji sebagai objek analisis.
Perlu ditegaskan bahawa peristiwa Hudaibiyah adalah strategi syarie Nabi SAW untuk mengelakkan pertumpahan darah serta membuka ruang dakwah yang lebih besar.⁷ Ia adalah tindakan berpandukan maslahah mursalah yang bersandarkan kepada keperluan semasa dan maslahat ummah secara kolektif pada masa dan ketika itu.
Namun, untuk menggunakan qiyas terhadap situasi PRK (pilihan raya kecil) dengan merujuk kepada asal hukum dalam peristiwa Hudaibiyah, usaha ini gagal memenuhi syarat justifikasi i’llah yang sama. Dalam kes Hudaibiyah, penangguhan dilakukan bagi mengelakkan kemudaratan nyawa dan membuka jalan perdamaian supaya Islam dapat dikembangkan pada masa Islam masih di peringkat tahun ke-6 hijrah.
Sebaliknya, dalam isu penangguhan haji kerana PRK, tiada justifikasi dari sudut mudarat besar, dan alasan untuk “kemenangan Islam” yang dicanang adalah terlalu umum serta lebih berasaskan naratif dan kepentingan politik kepartian. Ini menjadikan kategori qiyas tersebut sebagai qiyas ma‘al fariq (قياس مع الفارق).⁸ Contoh qiyas yang dinyatakan adalah tidak sepadan dengan asal hukum dan gagal memenuhi disiplin qiyas syari’e.
5. Penilaian Berdasarkan Maslahah (مصلحة)
Maslahah yang sah dan diterima piawaian syara’ menurut disiplin Usul al-Fiqh mesti memenuhi syarat-syarat berikut:⁹
1. Maslahah itu mesti bersifat hakiki dan bukan anggapan semata-mata.
2. Ia memberi manfaat kepada umum ummah, bukan kumpulan tertentu atau individu tertentu.
3. Tidak bercanggah dengan nas syar‘ie.
4. Tidak mengatasi maslahah yang lebih besar.
5. Menjaga lima perkara asas maqasid syariah: agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta.¹⁰
Jika gagal memenuhi syarat-syarat di atas, ia dikategorikan di bawah maslahah mulghah (مصلحة ملغاة) – maslahah yang tertolak dan tidak boleh dijadikan hujah.
Dalam kes PRK Ayer Kuning, kenyataan menunda ibadah haji dengan justifikasi “kemenangan Islam” tidak memenuhi kriteria seperti hukum asal seperti disyaratkan disiplin qiyas malah ia hanya bersifat spekulatif serta bersifat partisan dan kepartian.
6. Kesimpulan
Penangguhan ibadah haji atas alasan dan hujah politik dalam konteks pilihan raya kecil tidak memenuhi piawaian syar‘ie dari sudut qiyas mahupun maslahah. Oleh itu, ia tidak wajar dijadikan hujah untuk menangguhkan ibadah haji yang telah diwajibkan jika terlaksananya syarat-syarat yang lengkap.
Nota Kaki:
1. Al-Qur’an, Surah Ali ‘Imran: 97.
2. Al-Nawawi, Al-Majmu‘ Sharh al-Muhadhdhab, Jil. 7, hlm. 30.
3. Ibn Qudamah, Al-Mughni, Jil. 3, hlm. 212.
4. Al-Syahrastani, Al-Milal wa al-Nihal, Jil. 1, hlm. 112.
5. Al-Shatibi, Al-Muwafaqat fi Usul al-Shariah, Jil. 2, hlm. 335.
6. Hadis riwayat Ahmad, no. 2721.
7. Ibn Hisham, Sirah al-Nabawiyyah, Jil. 2, hlm. 318.
8. Al-Qarafi, Al-Furuq, Jil. 2, hlm. 35.
9. Al-Ghazali, Al-Mustasfa, Jil. 1, hlm. 286.
10. Al-Tufi, Risalah fi al-Maslahah, hlm. 89.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001