“Calon BN Ayer Kuning dipilih berdasarkan merit, bukan usia” – Saarani

TAPAH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning dipilih berdasarkan keupayaan dan kelayakan, bukannya faktor usia.

Saarani, yang juga Pengerusi BN Perak, berkata, usia adalah perkara subjektif dan pengundi seharusnya memberi fokus kepada kebolehan calon untuk berkhidmat dengan berkesan.

“Pengundi bebas memilih wakil yang terbaik. Mereka tidak semestinya muda atau tua, yang penting mereka layak, berkemampuan, dan diterima rakyat.

“Takrifan ‘muda’ itu sangat subjektif. Ada yang anggap bawah 40 tahun itu muda, ada kata bawah 50, malah ada juga bawah 60. Ia bergantung kepada persepsi.

“Tetapi bagi saya, itu bukan isu. Yang penting ialah kita tampilkan calon yang pada pandangan kita boleh berkhidmat dengan baik sebagai wakil rakyat,” katanya dipetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Seminar Keibubapaan Pelajar Orang Asli di Dewan Seri Bitara, Sekolah Menengah Sains Tapah, hari ini.

Terdahulu, beliau mengulas kenyataan Setiausaha Pemuda PAS Perak, Nurhafizul Badrul Hisham menerusi hantaran di laman Facebook, menyatakan berlaku percanggahan apabila Pemuda Umno mencabar PAS menampilkan calon muda, namun akhirnya mengumumkan calon BN berusia 54 tahun.

Katanya beliau memahami sepenuhnya rasional cabaran Pemuda UMNO, yang sebenarnya bertujuan memberi tekanan kepada kepimpinan parti untuk memilih calon lebih muda.

Isnin lalu, Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, diumumkan sebagai calon BN bagi PRK Ayer Kuning.

Mohamad Yusri memiliki Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam Pengajian Islam, dan juga Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.

Selasa lalu, Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Ketua PN Tapah, Abdul Muhaimin Malek, 44, sebagai calon mereka.

Abdul Muhaimin pernah melanjutkan pengajian ke Syria dan kemudiannya di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’azzam Shah dan pernah mengajar di sekolah, masjid dan pelbagai platform komuniti.

Saarani menambah bahawa BN yakin dengan calonnya dan tidak memfokuskan kepada isu umur, malah penyokong juga tidak seharusnya berbuat demikian.

“Apa yang penting ialah calon kita berwibawa. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, beliau akan meneruskan kerja baik Allahyarham Ishsam. Calon kali ini setanding dengan beliau,” katanya.

Ketika ditanya mengenai status calon sebagai penjawat awam dan kesannya terhadap kerjaya, Saarani mengesahkan bahawa beliau akan menerima surat pelepasan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini.

Mengulas cadangan bahawa PRK ini akan menjadi pertembungan antara dua tokoh agama (ustaz vs ustaz), Saarani menolak tanggapan itu sebagai subjektif.

“Ini bukan soal pertarungan antara tokoh agama. Kita hanya menawarkan seorang wakil rakyat yang baik, dan kita harap pengundi akan membuat keputusan secara rasional,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa pengundi Ayer Kuning menyokong kuat pembangkang sedangkan mereka mempunyai peluang untuk kekal bersama kerajaan.

“Saya selalu kata adalah pelik jika pengundi Ayer Kuning menyokong kuat pembangkang. Semua orang mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan, tetapi apabila diberi peluang untuk mengekalkan kestabilan, mereka memilih sebaliknya. Itu sangat ganjil.

“Saya percaya rakyat Ayer Kuning bijak. Mereka tahu apa yang dipertaruhkan. Mereka seharusnya mengundi BN kerana itu bermakna memilih wakil kerajaan yang akan terus menjaga kebajikan mereka,” tambahnya.

Pengundi Ayer Kuning akan keluar mengundi pada 26 April ini, manakala hari penamaan calon dijadualkan Sabtu ini.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *