Kunjungan Dr. Mohd Na’im melegakan kegundahan hati mangsa kebakaran paip gas

Oleh: Ibnu RushDee

UBAT paling mujarab atau mustajab bagi mereka yang dalam kesusahan ialah menerima kunjungan daripada saudara mara, sahabat handai, ahli agama dan pemimpin kerajaan.

Bahkan, ziarah dituntut dalam Islam dan amat digalakkan bagi sesiapa yang sihat mengunjungi saudaranya yang dalam kesusahan agar dapat menghilangkan rasa gundah dengan apa yang menimpa mereka.

Begitulah dilakukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar apabila mendapat tahu berita insiden kebakaran paip gas di Putera Height, dekat Subang Jaya di awal Syawal baru-baru ini, beliau terus bergegas menyantuni mereka yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS).

Kehadirannya, pada hari ketiga kejadian iaitu ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri memberi makna kepada keluarga mangsa yang tidak dapat meraikan 1 Syawal di kediaman masing-masing berikutan tragedi itu.

Sehingga semalam, sebanyak 509 keluarga dikenal pasti terjejas dan daripada jumlah itu, 157 keluarga menetap di PPS, manakala 352 keluarga lagi tinggal di luar PPS melalui pengurusan sendiri.

Dr. Mohd Na’im berkesempatan turun ke PPS Masjid Putra Height iaitu berdekatan insiden berkenaan untuk meredakan rasa gundah, di samping menyampaikan bantuan bagi meringankan tanggungan mereka yang terlibat.

Beliau juga melihat kesan kebakaran, selain mendengar sendiri cerita daripada mangsa, yang benar-benar menyentuh hati dan perasaannya dengan apa yang berlaku.

Tidak apa kata-kata dapat diucapkan, melainkan meminta semua keluarga yang terlibat bersabar kerana setiap dari kita tidak terlepas daripada ujian Yang Maha Esa.

“Sebagai tanda solidariti dan keprihatinan, pihak Yayasan Taqwa MAIWP menyalurkan sumbangan awal sebanyak RM200,000 bagi membantu mereka yang terjejas.

“Ini bukan sekadar angka, ia adalah usaha kecil kami untuk meringankan beban saudara-saudari kita yang sedang diuji,” katanya selepas melawat keluarga mangsa.

Beliau turut berdoa agar mereka semua terus diberi kekuatan dalam menghadapi dugaan itu dan insya-Allah, kerajaan akan terus hadir bersama mereka dalam susah dan senang.

Katanya, beliau teringat akan firman Allah SWT dalam Surah Al-Ma’idah, ayat 2: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan”.

Dr. Mohd Na’im juga mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang bertungkus-lumus membantu keluarga mangsa sejak awal kejadian.

Sesungguhnya, kehadiran Dr. Mohd Na’im dapat melapangkan perasaan sedih mangsa, yang ada antaranya kehilangan tempat tinggal dan harta benda dalam insiden yang tidak dijangka sama sekali.

Nasihat daripada ahli agama sekurang-kurangnya memberi ketenangan dan kelegaan, di samping dapat menerima apa yang berlaku adalah dari ketentuan Allah. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *