KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mengutuk keras tindakan Ahli Parlimen Machang dari Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal mempolitikkan tragedi kemalangan Putra Heights untuk populariti dan propaganda politik.
Setiausaha Agungnya, Faiz Fadzil berkata, Amanah menzahirkan simpati kepada semua mangsa terlibat dalam tragedi itu dan telah mengerahkan jenteranya bagi menghulurkan bantuan termampu kepada mangsa.
Malah kata beliau, Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamad Sabu turun melawat kawasan kejadian dan menyantuni mangsa yang terlibat.
“Dalam kenyataan media kelmarin (4 April), Wan Fayhsal merujuk kepada insiden letupan paip gas tersebut sebagai “telah meragut nyawa”. Ini adalah bohong sama sekali dan pihak berkuasa telah menyatakan tiada sebarang kematian setakat ini. Kenyataan palsu Wan Fayhsal adalah amat dikesali.
“Dalam kenyataan media tersebut juga, Wan Fayhsal mendakwa bantuan RM5,000 kerajaan kepada mangsa tidak mencukupi dan merupakan satu “penghinaan”. Ini juga berniat jahat kerana ia seolah menggambarkan Kerajaan Madani hanya memberikan bantuan RM5,000 maksima.
“Ini adalah palsu. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan pada 1 April lalu, kerajaan akan membaiki atau menggantikan rumah yang rosak atau musnah dalam letupan tersebut. Ingin saya bertanya kepada Wan Fayhsal, adakah kos rumah baharu bernilai RM5,000 sahaja?,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Menurut Faiz, pada 1 April juga, Perdana Menteri dilaporkan akan mempertimbangkan meningkatkan bantuan tunai RM5,000 tersebut dan amaun itu hanyalah bantuan serta-merta serta kerajaan sedang meneliti cara lain untuk memudahkan mangsa pulang ke rutin harian mereka.
Justeru, tegasnya, Amanah mendesak dan menuntut Wan Fayhsal menarik balik kenyataan media beliau bertarikh 4 April 2025 dan memohon maaf secara terbuka kepada semua mangsa tragedi termasuk kepada Kerajaan Madani atas penyebaran maklumat palsu ini.
“Wan Fayhsal dinasihati membawa politik matang dan sejahtera, tidak memperkudakan isu yang cukup menyayat hati ini. Rakyat Malaysia tidak mengira latar belakang seharusnya berganding bahu dan seiring membantu mangsa tragedi ini sebagai tanda simpati kita dengan kesusahan yang menimpa ratusan mangsa, dan hentikan segala bentuk eksploitasi,” ujarnya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001