Polis tahan ahli perniagaan bergelar Tan Sri tipu wang orang ramai RM10 juta

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri ditahan kerana dipercayai menipu wang orang ramai sebanyak RM10 juta dengan alasan untuk diserahkan kepada polis bagi menyelesaikan kes pengubahan wang haram.

Sumber PDRM berkata, lelaki berusia 59 tahun itu ditahan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman sebaik tiba di kediamannya di Jalan U-Thant, di sini petang semalam selepas pulang dari Osaka, Jepun.

“Suspek setakat ini sudah mengambil wang daripada mangsa kira-kira RM10 juta yang sebelum itu beliau dikatakan meminta RM25 juta dengan mendakwa mempunyai kenalan rapat dengan polis dan boleh menyelesaikan kes dihadapi mereka.

“Malah suspek menjelaskan kononnya wang diambil itu akan diserahkan kepada polis bagi membantu mangsa supaya tidak dikenakan tindakan atau disiasat membabitkan kes AMLA,” katanya kepada Bernama semalam.

Bagaimanapun, sumber memaklumkan, kegiatan suspek sudah dihidu oleh pasukan AMLA Bukit Aman yang kemudiannya menjalankan risikan dan siasatan sebelum menahan lelaki itu petang semalam.

“Suspek yang juga merupakan tokoh berpengalaman selama 30 tahun dalam perniagaan industri minyak dan gas serta merupakan pengerusi kepada sebuah syarikat itu akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapat perintah tahanan reman,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Bernama mengesahkan satu sidang media berkaitan kes itu akan diadakan dalam masa terdekat. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *