Isu tuntutan Ambalat: Impak kenyataan umum oleh seorang PM dalam perundangan antarabangsa

Oleh: Concerned Lawyers for Justice (CLJ)

KONTROVERSI isu tuntutan Ambalat yang berlarutan selama 18 tahun antara Malaysia dan Indonesia menjadi perhatian selepas kedatangan Presiden Jokowi ke Malaysia mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 8 Jun 2023 yang antara lain membincangkan isu pertikaian blok maritim Ambalat.

Konflik Ambalat berlaku disebabkan ketidakjelasan sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia, terutama di Laut Sulawesi, yang menyebabkan kedua-dua negara mempunyai tuntutan terhadap kawasan tersebut.

Ambalat melibatkan kawasan seluas 15,000 km persegi, yang terletak di luar pantai timur Sabah, berhampiran dengan sempadan antara Malaysia dan Indonesia yang mempunyai sumber minyak mentah dan gas asli terbesar di dunia.

Pada tahun 2005, Indonesia mengisytiharkan kawasan Ambalat sebagai sebahagian daripada wilayah maritimnya. Malaysia, sebaliknya, mempunyai sejarah dan hak ke atas kawasan tersebut.

Ketegangan berlaku akibat pengumuman yang dibuat oleh Indonesia mengenai kedaulatan di kawasan tersebut, menyebabkan insiden ketenteraan hampir berlaku antara kedua-dua negara.

Subjek pertikaian antara kedua-dua negara di kawasan Ambalat adalah berkaitan dengan hakmilik dan eksplorasi sumber alam termasuk penentuan kawasan seluas 200 batu nautika Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan Pelantar Benua (Continental Shelf) seperti yang diperuntukkan dalam Konvensyen Undang-undang Laut 1982 (KUUL 1982).

Selepas pertemuan Perdana Menteri dan Presiden Jokowi itu, Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam kenyataan rasmi bertarikh 20 Jun 2023 telah memaklumkan bahawa terdapat dua triti yang telah dimeterai antara Malaysa dan Indonesia pada 8 Jun 2023 di Seri Perdana, Putrajaya iaitu Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi, sekali gus menamatkan pertikaian yang berlangsung selama 18 tahun.

Perdana Menteri dan KLN menegaskan bahawa kedua-dua Triti itu tidak menyentuh mengenai pertikaian di blok Ambalat. Bagaimanapun, penegasan Perdana Menteri itu telah mendapat kritikan meluas kerana kandungan triti-triti itu terutamanya Triti Laut Sulawesi sehingga kini belum didedahkan kepada umum.

Kebimbangan umum mengenai kandungan triti-triti itu ternyata berasas apabila Ketua Pengarah Minyak dan Gas Indonesia, Tutuka Ariadji, pada 13 Julai 2023 dalam laporan eksklusif CNBC menekankan bahawa Malaysia dan Indonesia akan menjalankan “desk study” dalam usahasama penerokaan sumber minyak dan gas di Ambalat.

CLJ merizabkan ulasan mengenai Triti Laut Sulawesi tersebut berikutan kandungannya yang masih rahsia.

Namun, CLJ ingin mengingatkan supaya Kuasa Eksekutif di negara ini untuk tidak mengeluarkan kenyataan mahupun pengumuman yang akan dianggap sebagai “Deklarasi Sepihak” atau “Unilateral Declaration” yang akan menyebabkan hak kedaulatan Ambalat akan terlepas ke pihak Indonesia seperti mana yang berlaku dalam kes duluan yang diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (MKA).

Deklarasi Sepihak ini telah ditakrifkan dalam Prinsip No. 1 The International Law Commission (ILC) Guiding Principles applicable to unilateral declarations of States capable of creating legal obligations 2006’ (‘ILC Guiding Principles’) sebagai satu deklarasi yang dibuat kepada umum dengan niat untuk mempunyai kesan perundangan yang mengikat (with intention to create legal obligations).

Untuk memberikan impak perundangan, Deklarasi Sepihak mestilah dibuat oleh Kuasa Eksekutif utama negara sepertimana yang dinyatakan oleh Prinsip No. 4 ILC Guiding Principles iaitu Yang DiPertuan Agong (YDPA) sebagai Ketua Negara, Perdana Menteri sebagai Ketua Kerajaan dan Menteri Luar Negeri.

Merujuk kepada kes Nuclear Tests (Australia vs Perancis) (New Zealand v Peranics) (1974), apabila Australia dan New Zealand memfailkan tuntutan berkenaan ujian nuklear yang dilakukan oleh Perancis di Laut Pasifik Selatan, MKA memutuskan bahawa siri deklarasi yang dibuat oleh Perancis kepada umum untuk menghentikan ujian nuklear di atmosfera dianggap adalah mengikat daripada segi undang-undang.

Deklarasi Perancis tersebut tidak memerlukan sebarang quid pro quo atau reaksi daripada negara lain untuk deklarasi itu berkuat kuasa. Kes lain yang berkaitan dengan deklarasi sepihak yang melibatkan pertikaian sebuah wilayah dapat dilihat dalam kes Frontier Dispute antara Burkina Faso dan Mali yang dibawa kepada MKA pada tahun 1986.

Burkino Faso menggesa MKA supaya mengambil kira deklarasi yang dibuat oleh Presiden Mali dalam satu sidang media yang berakujanji untuk mematuhi apa jua keputusan pihak mediasi berkenaan sempadan wilayah tersebut.

Namun, MKA memutuskan bahawa deklarasi itu tidak berniat untuk mengikat Mali secara perundangan dalam pertikaian sempadan tersebut. MKA secara konsisten telah menggunapakai prinsip Deklarasi Sepihak ini dalam kes-kes selepas itu seperti kes Armed Activities on the Territory of the Congo Case (2006) dan Dicta yang disebut dalam kes Nuclear Tests telah dideraf semula untuk dijadikan panduan dalam “ILC Guiding Principles”.

Contoh Deklarasi Sepihak berkenaan hak pemilikan sesuatu wilayah adalah adalah pengakuan Raja Jordan pada 31 Julai 1998 untuk tidak lagi menuntut Tebing Barat dan pengumuman yang dibuat oleh Mesir pada 24 April 1957 untuk pembukaan semula Terusan Suez kepada umum.

Deklarasi Sepihak yang dibuat oleh Perancis dalam kes Nuclear Test, dan Raja Jordan berkenaan Tebing Barat serta Mesir tentang pembukaan Terusan Suez dianggap ditujukan kepada seluruh dunia secara erga omnes dan bukan hanya kepada negara tertentu.

Justeru, CLJ sekali menegaskan bahawa kerajaan Malaysia terutama tiga pihak yang memegang kuasa eksekutif utama iaitu YDPA, Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri tidak membuat apa-apa kenyataan atau pengumuman secara lisan atau bertulis yang akan menyebabkan Wilayah Ambalat yang kaya dengan sumber alam ini terlepas begitu sahaja kepada Indonesia tidak kira samaada pertikaian itu kelak akan dibawa kepada MKA atau pun tidak.

Tambahan pula, dengan Triti Laut Sulawesi yang tidak didedahkan kepada umum akan kandungannya mendatangkan kerisauan yang bukan kepalang.

CLJ menyarankan supaya pertikaian di Ambalat ini dibawa kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Perdana Menteri sepatutnya menyarankan kepada Presiden Jokowi untuk menandatangani satu perjanjian supaya kedua-dua pihak bersetuju untuk pertikaian di Ambalat diselesaikan di MKA.

Menandatangani satu Triti yang masih menjadi rahsia adalah satu keputusan yang kurang tepat yang mempunyai risiko Ambalat akan terlepas ke negara lain begitu sahaja. Kami tidak mahu satu lagi wilayah strategik seperti Batu Puteh yang dahulunya sah kepunyaan Kesultanan Johor terlepas ke tangan kuasa asing.

Artikel ini ditulis oleh Peguam Nadia Aziz bagi pihak Concerned Lawyers for Justice. (No. telefon: 010-4027696) dan email: nac.lawco@gmail.com

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *