Petronas lancar filem ‘Anak Siapa Ni?’ sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR – Petrolium Nasional Berhad (PETRONAS) melancarkan filem web berjudul ‘Anak Siapa Ni?’ bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025.

Filem pendek arahan Ismail Kamarul yang berdurasi lima minit 48 saat itu, mengisahkan seorang pemuda, Wafi dari Shah Alam, Selangor yang dipaksa ibunya untuk menziarahi sepupu kepada ayahnya di Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik, Perhubungan Strategik Kumpulan dan Komunikasi PETRONAS, Siti Azlina Abd Latif berkata, filem itu mengetengahkan amalan kunjung-mengunjung bagi mengeratkan silaturrahim di musim perayaan.

“Ini adalah antara perkara yang PETRONAS ingin ketengahkan. Kita teruskan amalan kunjung mengunjung sempena musim perayaan akan datang,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Berbuka Puasa dan Pratonton Eksklusif Filem Web PETRONAS bersama Media, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam tadi.

Sementara itu, PETRONAS juga menyerahkan sumbangan Memacu Kehidupan Yayasan Petronas kepada lebih 4,850 buah keluarga menerusi program Impak Sosial PETRONAS.

“Sumbangan itu dilaksanakan bersama rakan strategik syarikat nasional itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mengulas mengenai majlis itu, beliau berkata PETRONAS telah membawa khas pengusaha dan usahawan wanita dari Kemaman, Terengganu yang terlibat dalam program Menyemai Masa Hadapan yang menghasilkan sabun daripada minyak masak terpakai.

“Selain itu, kami juga bawakan produk-produk yang dihasilkan daripada bahan buangan plastik dan tekstil daripada komuniti yang terlibat daripada Bintulu, Sarawak dan juga Kota Kinabalu, Sabah,” ujarnya lagi.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *