Oleh Concerned Lawyers for Justice (CLJ)
PIAGAM Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau United Nation Charter digubal pada tahun 1945 dengan semangat dan persetujuan untuk menjunjung tinggi prinsip keamanan sejagat dan memelihara hak-hak asasi manusia demi menyelamatkan generasi berikutnya daripada penderitaan yang tiada taranya akibat peperangan dunia yang berlaku sebelumnya.
Penggubalan Piagam PBB ini disekalikan dengan hak tertinggi yang mencapai taraf “Jus Cogen” iaitu Hak Kendiri Orang Asal atau Self-Determination.
Perkara 1 Piagam menyatakan To develop friendly relations among nations based on the principle of equal rights and self determination of peoples Sebarang perlanggaran terhadap prinsip-prinsip “Jus Cogen” adalah sama sekali tidak dibenarkan sehingga Perkara 53 Konvensyen Vienna mengenai Undang-Undang Triti 1969 memperuntukkan bahawa sebarang triti yang bercanggah dengan prinsip “jus cogen” adalah dianggap tidak sah dan terbatal.
Hak Kendiri ini telah ditekankan dalam konvensyen, deklarasi, resolusi, protocol dan laporan undang-undang antarabangsa termasuk diputuskan dalam kes-kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (MKA).
Dua waad antarabangsa yang mengkhususkan peruntukan tentang hak orang asal adalah Waad Antarabangsa berkaitan Hak Sivil dan Politik (WAHSP) 1966 dan Waad Antarabangsa berkaitan Hak Sosial, Ekonomi dan Budaya (WAHSEB) 1967.
Perkara 1 kedua-dua waad ini menyebut bahawa tentang hak orang asal untuk menentukan status politik, ekonomi, budaya dan sosial mereka sendiri seperti berikut: “Semua rakyat mempunyai hak untuk menentukan nasib sendiri, “Dengan hak itu, mereka menentukan status politik mereka secara bebas dan secara bebas mengejar pembangunan ekonomi, sosial, dan budaya mereka”.
Manakala Perkara 3 Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Terhadap Hak Orang Asal (DHOA) menyatakan: Orang Asal mempunyai hak menentukan pilihan sendiri.
Berdasarkan hak tersebut, mereka secara bebas menentukan status politik dan bebas mengejar pembangunan ekonomi, sosial dan budaya mereka. Malahan, dalam kes Portugal lwn Australia (Kes East Timor, ICJ Reports) (1996) MKA memutuskan bahawa hak penentuan diri adalah bersifat “erga omnes” selain mencapai taraf jus cogen.
“Erga Omnes” merupakan satu prinsip undang-undang antarabangsa yang terpakai kepada semua orang. Oleh yang demikian, hak kendiri ini tidak terhad kepada sesuatu kelompok sahaja, malahan orang asal juga berhak menuntut pemakaian hak ini.
Hak ini telah digunapakai oleh kebanyakan negara atau bangsa yang ingin menuntut pembebasan dan kemerdekaan mutlak daripada penjajahan asing sehingga menyebabkan beberapa resolusi telah dikeluarkan oleh Perhimpunan Agung PBB yang menyokong gerakan pembebasan melalui prinsip hak kendiri ini seperti Resolusi 1514, Artikel 73E Resolusi 1541 (XV), Resolusi 2621 dan Resolusi 2625 (XXV).
Gerakan hak kendiri ini telah digunapakai oleh kebanyakan bangsa, kaum, puak dan negara di dunia ini untuk bebas daripada penjajahan dalaman atau penjajahan asing.
Setakat artikel ini ditulis, dikatakan terdapat 26 gerakan hak kendiri yang berlangsung di seluruh dunia.
Penentuan nasib kendiri ini secara luaran ini (external self-determination) telah direalisasikan dalam kes Quebec, Western Sahara, Timor Timur, Kosovo, Bangladesh, dan Sudan Selatan, manakala beberapa rakyat seperti Bosnian, Palestin, Chechen, Papuan Barat, Tibetan, Kashmir, Selatan Thailand dan Aceh telah dinafikan dalam usaha mereka untuk berpisah dari tanah air mereka (secession movement).
Mengambil contoh perjuangan Aceh yang digerakkan oleh Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dan seterusnya Acheh-Sumatra National Liberation Front (ASNLF). Pemimpin dan masyarakat Aceh sama sekali tidak dapat menerima penguasaan jawa terhadap tanah tumpah darah mereka.
Dasar yang dilaksanakan oleh pemerintah Jawa Indonesia yang pro-komunis dikatakan telah menghalang Aceh melaksanakan undang-undang syariah. Tentera gerila Aceh telah menyerang pejabat-pejabat kerajaan, kem tentera, kawasan cari gali minyak sehingga membakar sekolah sekolah yang dikatakan menyebarkan fahaman jawa yang bersifat pro komunis.
Tentera gerila ini turut menghalau orang-orang jawa yang mula membanjiri Aceh setelah Indonesia merdeka. Pemimpin Aceh ketika itu, Daud Beureueh pada 21 September 1953 sendiri telah mengisytiharkan Aceh sebagai sebahagian Negara Islam Indonesia.
Yang menariknya, gerakan pembebasan Aceh yang kebanyakan waktu dipimpin oleh Dr Hasan Muhammad Hasan Di Tiro ini telah mendapat pengiktiran PBB dan masyarakat antarabangsa.
Dr Hasan Tiro hidup dalam buangan di luar negara dan hanya pulang ke Aceh selepas Perjanjian Persefahaman Helsinki ditandatangani pada tahun 2005. Aceh sehingga kini masih berhasrat untuk bebas sepenuhnya daripada penguasaan Jawa di Indonesia. Begitu juga dengan Patani dan wilayah-wilayah di Selatan Thailand TANAH MELAYU.
Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ketika itu dicapai dengan syarat-syarat yang dikenakan oleh British. Raja-Raja Melayu dengan campur tangan daripada pemimpin politik telah dipaksa menerima kewarganegaraan secara jus soli yang menyebabkan lebih satu juta pendatang cina dan india diterima menjadi warganegara.
Ketika jus soli ini dikuatkuasakan, Rakyat Melayu tidak diberikan peluang untuk menyatakan persetujuan mereka melalui Referendum atau pungutan suara seperti mana yang berlaku ketika Timor Timur ingin dimerdekakan daripada Indonesia, apabila satu Referendum telah dibuat oleh PBB ke atas rakyat Timor Leste itu sama ada mereka bersetuju untuk merdeka, maka keputusan Referendum rakyat Timor Leste itu yang mendorong kepada kemerdekaan mereka.
Kewarganegaraan jus soli ini sepatutnya memaksa pendatang-pendatang ini mengamalkan sepenuhnya adat, budaya Melayu dan fasih berbahasa Melayu. Namun, malangnya mereka masih mengamalkan adat, budaya dan berbahasa dengan bahasa tanah asal mereka.
Jus Soli ini telah menyebabkan mereka mempunyai tempat dalam politik, dilantik menjadi Menteri, Ahli Parlimen, Wakil Rakyat dan Senator dalam keadaan mereka masih beridentitikan negara asal mereka.
Bahkan mereka juga masih mengekalkan sekolah-sekolah dalam bahasa mereka, selain daripada penguasaan ekonomi yang menyebabkan pendatang ini kaya raya.
Keadaan ini telah menyebabkan kaum peribumi Melayu termasuk di Sabah Sarawak telah terhimpit dengan segala-galanya perlu dikongsi termasuk tanah, kek ekonomi, pecahan dalam Parlimen dan Dewan Negara, kuota pendidikan dan rumah-rumah ibadat yang dibina melebihi bilangan masjid.
Orang-orang Melayu juga tidak bebas memartabatkan undang-undang syariah menurut kehendak mereka turun temurun seperti yang diwarisi daripada zaman Melaka berikutan pengamalan undang-undang Common Law dan pengasingan senarai Negeri dan Senarai Persekutuan itu.
Bukan itu sahaja, memandangkan, persempadanan semula yang digesa oleh Parti DAP yang impaknya dikatakan akan menambahkan kerusi DAP kelak, maka dengan semua keadaan ini, maka adalah wajar untuk Raja-Raja Melayu dan orang-orang Melayu sebagai orang asal menggunakan Hak Kendiri ini seperti yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa untuk menentukan kemerdekaan mengikut acuan dan pengertian kita sendiri menurut apa yang diperjuangkan oleh nenek moyang kita.
Mengambil maklum akan keadaan Melayu yang semakin terhimpit, maka, kami di CLJ berpendapat bahawa negara yang wujud ini bukan menurut niat, kehendak dan aspirasi Raja Raja Melayu ketika mereka bersetuju untuk mendapatkan kemerdekaan daripada British. – ND
Pendapat undang-undang ini ditulis oleh Nadia Aziz bagi pihak CLJ. E-Mel: nac.lawco@gmail.com
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001