‘Lembu Tua Jadi Maskawin’ lambang perjuangan melawan kezaliman zaman Malaya

Pak Long sambung kongsi sebuah lagi cerpen dalam antologi “Mekar dan Segar – Bungai Rampai Cerita-Cerita Pendek Angkatan Baru” (Asraf, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1959), iaitu cerpen bertajuk “Lembu Tua Jadi Maskawin” hasil karya Shafie Abdullah.  Semasa Pak Long bertugas di Jabatan Pengairan dan  Saliran Negeri Kedah, Pak Long mendapat tahu dari seorang kenalan bahawa Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah pada masa itu, Dato’ Paduka Haji Ismail bin Haji Shafie adalah anak kepada Shafie Abdullah, seorang pengarang terkenal. Pak Long agak terkilan juga kerana tidak memanfaatkan peluang untuk bertanya lebih lanjut dari kaca mata anaknya sendiri mengenai pengalaman ayahnya, Shafie Abdullah sebagai seorang pengarang.

Mengikut catatan biografi (Pak Long petik dari teks ‘Mekar dan Segar’) “Shafie Abdullah lahir di Jitra, Kedah tanggal 24 Juli 1925. Bersekolah Melayu dan Inggeris tamat darjah VIII. Dalam zaman Jepang menjadi Pelateh Pasokan Pemuda (Senentai), kemudian bekerja dengan Gobnor Jepang. Tahun 1945 bekerja di-Jabatan Kawalan Makanan Negeri Kedah hingga tahun 1951, masok partai politik ‘Saberkas’ Kedah, kemudian masok U.M.N.O di Baling; pernah jadi Setiausaha Peribadi Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj; bulan Mei 1957 menjadi anggota Dewan Undangan Negeri Kedah bagi kawasan Baling Timor.” Biografi pengarang di atas memberikan latar belakang kehidupan, perjuangan, jawatan dan persekitaran yang membantunya mendapat ilham dalam berkarya. Dalam bidang sastera, Shafie Abdullah juga terlibat bersama ASAS 50 dan cerita pendek “Lembu Tua Jadi Maskawin” dirujuk sebagai sumbangannya. https://www.scribd.com/doc/65654918/ANGKATAN-SASTERAWAN-50

Pak Long berikan ringkasan cerita “Lembu Tua Jadi Maskawin” untuk fahaman pembaca. Husin (ibunya dan penduduk kampung) sentiasa dizalimi oleh penguasa kampung. Penguasa yang dimaksudkan ialah Tok Ketua Kampung dan Lamin ‘hambanya’ (budak suruhan) yang di dalam cerita ini mendapat habuan untuk menikah dengan anak Tok Ketua Kampung, Limah – buah hati Husin. Di sini punca kuasa yang menyebabkan kezaliman ialah jawatan Tok Ketua Kampung dengan bantuan ‘alat@balacinya’ iaitu si Lamin. Pada pandangan Husin, kezaliman terhadap dirinya ialah semata-mata ‘kerana dengki dan hasad belaka’. Lamin menyita lembu tua Husin atas dakwaan Husin masih lagi membiarkan lembu tuanya berkeliaran dalam kampung walaupun telah berulang kali diberikan amaran. Dan untuk menebus lembu tuanya, Husin mestilah membayar denda tebusan yang ditetapkan oleh Lamin iaitu Lima ringgit, tiga kepada Datok dan dua pada aku (Lamin)”. Husin tidak mampu membayar denda yang sebegitu mahal. Setelah berbincang dengan ibunya, Husin membuat keputusan untuk meninggalkan kampung halamannya untuk merantau dengan  restu ibunya.

Beberapa tahun kemudian, pada hari kepulangan Husin ke kampung halamannya, Lamin ditimpa tragedi yang membawa maut. Pada masa itu, dia sudahpun menjadi Tok Ketua Kampung baru sebagai mengganti tempat arwah bapa mertuanya iaitu Tok Ketua Kampung lama. Lamin telah mati ditanduk lembu tua yang marah dengan perbuatan Lamin yang membelasahnya dengan bersungguh-sungguh. Lamin amat marah dengan lembu tua itu kerana ia tidak terdaya untuk menyeberang parit semasa digiring (dalam lohgat Kedah, ia bermakna diyong) pulang. Seluruh kampung jadi heboh dengan lembu tua yang mabuk darah dan kematian Lamin.

Kematian Lamin telah mengakhiri kezaliman bertahun-tahun sang penguasa terhadap orang-orang kampung; ia juga mengakhiri penantian yang sekian lama Husin dan Limah untuk menjadi suami isteri dan melayari hidup bahagia. Watak penting cerita lembu tua, bukan saja jambatan sebuah kebahagiaan, tetapi ia juga adalah maskawinnya. Dan sepertimana yang kita sedia maklum, maskawin adalah salah satu mahar perkahwinan dalam Islam.

Pak Long teruja bila watak lembu tua dilihat begitu penting oleh pengarang sehingga ia menjadikannya watak utama dalam cerpen. Pada pandangan Pak Long, tindakan lembu tua setelah sekian lama didera tanpa belas kasihan oleh ‘penguasa’ zalim sehinggakan ia hilang sabar, lalu membunuh. Sesungguhnya satu mesej tersirat yang penting oleh pengarang ialah toleransi terhadap kezaliman ada had dan batasnya.

Sesungguhnya ‘watak’ lembu tua yang kurus dan daif mempunyai makna dan anologi yang besar dalam kehidupan. Lembu tua dalam cerpen ini adalah pencari rezeki untuk tuannya, penentang kezaliman, alat menyambung cinta kasih di antara dua insan.

Insyallah kita jumpa lagi dalam cerita dan makna sastera dalam kehidupan manusia. Salam Ramadhan dari Pak Long.

NDfasa2MekardanSegarLembuTuaJadi Maskawin13mac25

One thought on “‘Lembu Tua Jadi Maskawin’ lambang perjuangan melawan kezaliman zaman Malaya

  1. Lembu tua jadi mas kahwin adalah sebuah cerpen yg padat dgn unsur sindiran. Tahniah ASAS 50 kerana terbitkan antologi cerpen di tahun 50an. Tahniah juga kpd penulis krn membangkitkan kembali nostalgia yg sudah dilupakan kebanyakan manusia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *