Pemilihan CEC DAP: Guan Eng, Rayer digesa undur, bagi laluan kepemimpinan baharu

Pemilihan CEC DAP: Guan Eng, Rayer digesa undur, bagi laluan kepemimpinan baharu

14/03/2025

GEORGETOWN – Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, RSN Rayer digesa menarik diri pada pemilihan parti itu Ahad ini bagi memberi laluan kepada kepemimpinan baharu, demi menyelamatkan imej dan nilai parti itu.

Veteran DAP, Datuk AR Krishnan berpandangan parti itu tidak boleh dijadikan ‘tebusan’ kepada agenda peribadi sekali gus membiarkan misi perjuangan parti itu berkompromi dengan mereka yang lebih lebih mengutamakan kepentingan sendiri berbanding kolektif.

“Kehadiran mereka yang berterusan dalam kepimpinan telah mencemarkan imej parti dan menyebabkan rasa tidak puas hati yang semakin meningkat dalam kalangan ahli serta penyokong.

“Saya menyeru perwakilan dan kepimpinan DAP untuk mengambil perkara ini dengan serius dan bertindak demi kepentingan terbaik parti serta rakyat yang kita wakili,” katanya dipetik BHNews pada sidang media di sini.

Krishnan, 84, turut melahirkan kebimbangan mendalam terhadap masa depan, prinsip, dasar serta integriti yang menjadi asas penubuhan DAP dan menegaskan kepimpinan dalam parti bukanlah satu keistimewaan sebaliknya ia adalah satu tanggungjawab.

Bekas Ketua Cawangan DAP Lorong Pasar itu turut mendakwa masyarakat India dari kira-kira 30 cawangan DAP berkongsi sentimen bersama beliau mengenai ketidakpuasan hati mereka terhadap kepimpinan semasa parti berkenaan.

Sebagai rekod, Krishnan pernah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa DAP negeri antara 2007 dan 2011, Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Datuk Keramat selama empat tahun sejak 2008 serta sebagai Pesuruhjaya Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang selama dua penggal sejak 2008.

Mengulas lanjut, beliau berkata kekuatan DAP sentiasa terletak pada komitmen kolektif parti terhadap keadilan, kesaksamaan dan tadbir urus yang baik.

Namun, katanya, perkembangan terkini menimbulkan kebimbangan serius mengenai kepentingan politik individu yang mengancam perpaduan serta kredibiliti parti itu.

“Jelas bahawa terdapat individu dalam kepimpinan parti yang lebih mengutamakan cita-cita peribadi berbanding perjuangan lebih besar parti serta kepentingan rakyat yang kita wakili.

“Pendekatan yang mementingkan diri sendiri ini bukan sahaja menyebabkan perpecahan dalaman tetapi juga menghakis kepercayaan awam terhadap gerakan kita.

“Bagi menjaga reputasi parti dan memastikan kita terus mempertahankan nilai-nilai demokratik yang kita perjuangkan, tindakan tegas mesti diambil segera,” katanya.

Sehubungan itu, Krishnan menggesa perwakilan dan kepimpinan DAP untuk melihat perkara tersebut dengan serius dan bertindak demi kepentingan terbaik parti serta rakyat yang diwakili.

“Jika kita mahu melangkah ke hadapan dengan lebih kukuh dan bersatu, kita mesti memastikan mereka yang berada dalam kepimpinan benar-benar komited terhadap prinsip keadilan, ketelusan, dan khidmat yang tulus.

“Saya menggesa semua ahli serta penyokong untuk berdiri bersama dalam memperbaharui komitmen terhadap idealisme sebenar DAP.

“Masa untuk perubahan adalah sekarang. Janganlah kita gentar dalam usaha mencapai masa depan yang lebih baik untuk semua,” katanya yang telah berkhidmat dengan DAP sejak 1969 tetapi hanya menyertai parti itu sebagai ahli pada 1981.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *