Api marak di kawasan industri Juru, dua kilang dan asrama pekerja musnah

BUKIT MERTAJAM – Dua kilang serta sebuah asrama pekerja di kawasan industri ringan Juru dekat Simpang Ampat mengalami kemusnahan besar dalam kebakaran yang tercetus malam tadi, namun semua tujuh pekerja yang berada di lokasi berjaya menyelamatkan diri.

Dalam kejadian jam 8.25 malam itu, kebakaran melibatkan dua lot kilang berkembar yang digunakan sebagai premis pembuatan minuman kesihatan dan kabinet dapur selain sebuah asrama pekerja yang terletak dalam kawasan gudang kitar semula barangan plastik.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.25 malam sebelum beberapa jentera bersama anggota digerakkan ke lokasi.

Menurut beliau, ketika bomba tiba di lokasi, api dilaporkan sedang marak dan merebak dengan cepat berikutan struktur premis serta bahan yang mudah terbakar di kawasan berkenaan.

“Terdapat tujuh pekerja berada di lokasi semasa kejadian membabitkan dua lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga Myanmar, seorang lelaki warga Vietnam dan tiga lelaki warga Nepal.

“Kesemua mereka berjaya keluar menyelamatkan diri sebelum api merebak lebih besar dan tiada mangsa dilaporkan terperangkap,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman secara agresif bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak ke premis berhampiran.

Katanya, operasi berdepan cabaran berikutan keadaan api yang besar selain faktor bahan mudah terbakar di kawasan gudang dan kilang terbabit.

“Api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.22 malam sebelum anggota meneruskan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada sisa bara atau risiko kebakaran berulang di lokasi kejadian,” katanya.

Menurut beliau, operasi pemadaman melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dengan bantuan BBP Perda serta BBP Sungai Bakap.

Selain itu, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran turut membantu operasi bagi mempercepatkan usaha mengawal kebakaran.

Dalam perkembangan sama, JBPM turut membuka Pusat Sehenti Pasca Insiden (PSPI) bagi membantu mangsa dan pemilik premis mendapatkan khidmat nasihat serta penyelarasan bantuan mengikut keperluan semasa.

“Pusat ini diwujudkan untuk memudahkan proses pengumpulan maklumat pemilik premis selain membantu urusan berkaitan susulan kejadian,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini punca kebakaran serta jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.

Operasi keseluruhan ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.23 tengah malam sebelum kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) bagi tindakan lanjut dan siasatan terperinci.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *