PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan ternakan bagi sambutan Aidiladha tahun ini mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa di seluruh negara.
Melalui kenyataan hari ini, KPKM memaklumkan berdasarkan statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sehingga April lalu, stok bekalan lembu dan kerbau tempatan ialah 35,127, manakala bekalan diimport 16,845.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan bekalan lembu dan kerbau bagi tujuan korban mencecah 51,972, sekali gus melebihi anggaran keperluan institusi seperti masjid, surau dan rumah sembelih yang dijangka sebanyak 40,420,” menurut kenyataan itu.
Bagi bekalan kambing dan bebiri, KPKM memaklumkan stok tempatan direkodkan sebanyak 25,815, manakala bekalan import 4,232, menjadikan jumlah keseluruhan 30,047 berbanding unjuran permintaan semasa 22,424.
Melalui unjuran data itu, KPKM memberi jaminan jumlah bekalan ternakan dalam negara mencukupi bagi menampung permintaan penyembelihan untuk tujuan korban tahun ini.
Dari aspek kesiapsiagaan infrastruktur, KPKM memaklumkan sebanyak 27 rumah sembelih milik DVS di seluruh Semenanjung Malaysia sedia beroperasi bagi tujuan penyembelihan ternakan korban.
“Selain itu, DVS juga mengeluarkan lesen kepada 43 rumah sembelih swasta di seluruh Semenanjung Malaysia sehingga 16 Mac bagi menawarkan perkhidmatan penyembelihan yang sah kepada masyarakat,” menurut kenyataan itu.
KPKM memaklumkan penganjur yang ingin menjalankan aktiviti penyembelihan korban di luar rumah sembelih seperti di masjid, surau, sekolah, kawasan perumahan dan tempat awam diwajibkan mengemukakan permohonan permit penyembelihan luar berserta dokumen berkaitan bagi mendapatkan kelulusan.
Kementerian itu turut menyarankan orang ramai sentiasa merujuk Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban dikeluarkan DVS sebagai rujukan asas bagi memastikan seluruh proses pelaksanaan ibadah korban lancar dan mematuhi standard ditetapkan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L