13/03/2025
BOLEH tak PakDee samakan kes yang berlaku pada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hampir sama dengan kes jumpa sejumlah duit di kediaman bekas Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob?
Kalau keduanya sama, walaupun tidak serupa, kenapa kes Teresa Kok didiamkan begitu saja oleh SPRM? Sedangkan kes Ismail Sabri, walaupun sakit tetap dipanggil mengadap untuk dirakamkan percakapan?
Bolehkah PakDee katakan, ini yang dinamakan Antara Dua Darjat? Oleh kerana dia orang kerajaan maka kesnya ‘tak dipedulikan’, tapi orang di luar kerajaan diburu dan dicari sampai ke lubang cacing?
Walaupun pihak berkuasa kata pihaknya berlaku adil dalam apa saja kes dan sesiapa yang disyaki terlibat, sesungguhnya ia sebenarnya hanya khayalan di pihak berkenaan. Mata masyarakat yang melihat situasi ini dapat menilainya sendiri bahawa ia tidak adil.
Masyarakat juga buat andaian, biarlah pemimpin dalam kerajaan sekarang terlepas dari pihak berkuasa. Mereka hanya tidak akan terlepas sebaik kerajaan diambil alih oleh parti pembangkang pada masa akan datang.
Dari situ, semua kes dan fail mereka akan dibuka seluas-luasnya untuk diheret ke muka pengadilan dan diadili, sebagaimana mereka mengheret pemimpin di luar kerajaan hari ini.
Sebut ketidakadilan, adalah salah dan tidak logik untuk kita mempersalahkan undang-undang, kerana undang-undang boleh digunakan oleh pihak berkuasa yang diberi amanah untuk melaksanakannya secara adil.

Tetapi disebabkan ada campur tangan dan arahan dari pihak tertentu, makanya undang-undang yang adil dilihat sebagai tidak adil. Ini dinamakan penyalahgunaan perundangan.
Memang tidak logik, majikan tahu anak buah melakukan rasuah, tetapi tidak melaporkan kepada pihak berkuasa. Sebaliknya, mengambil tindakan sendiri dengan memecat kakitangan berkenaan.
Memecat kakitangan adalah tindakan yang bijak, tetapi lagi bijak kalau perbuatan kakitangan itu dilaporkan kepada pihak berkuasa dan biar pihak berkuasa mengambil tindakan perundangan.
Merahsiakan perbuatan salah laku anak buah juga adalah perbuatan jenayah. Ia sama seperti kita melindungi pendatang asing tanpa dokumen tinggal dalam negara. Tetapi, kerana pihak berkenaan berada dalam kerajaan, makanya ia dibiarkan begitu sahaja.
Cukup dengan memberi alasan, “saya sudah memecatnya’. Pecat adalah kes lain, salahguna kuasa dan penyelewengan wang rakyat juga kes lain. Ia tidak boleh meletakkan hukuman di tangan sendiri. Nanti besar kepala orang yang terlibat dalam rasuah dan mencuri wang rakyat.
PakDee harap, perkara seumpama ini dapat membuka mata pihak kerajaan. Kerana jika dibiarkan, ia menambahkan lagi buruk kerajaan pada mata masyarakat. Sudahlah, banyak janji-janji yang ditabur sebelum jadi kerajaan tidak ditunaikan selepas menjadi kerajaan, kes salah laku melibatkan orang dalam kerajaan pun nak disorokkan.
Ini akan menyebabkan rakyat akan kecewa dan hilang kepercayaan kepada kerajaan. Akhirnya, tindakan drastik dilakukan rakyat ialah menukarkan kerajaan sekarang pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Rakyat memilih kerajaan sekarang pada pilihan raya umum lebih dua tahun lalu kerana mahu memberi peluang untuk mereka menunaikan janji dan membaiki kerosakan yang dilakukan kerajaan terdahulu.
Tetapi, jika mereka yang sudah mendapat peluang menjadi kerajaan pun menambahkan lagi kerosakan, tidak ada makna lagi untuk rakyat terus mengekalkan mereka pada masa akan datang. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001