Dr. Mohd Na’im terbukti dapat memikul tanggungjawab menjaga hal ehwal agama

Dr. Mohd Na’im terbukti dapat memikul tanggungjawab menjaga hal ehwal agama

10/03/2025

Oleh: Ibnu RushDee

SEJAK kerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) diamanahkan kepada Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, sistem keagamaan di negara majmuk ini boleh dikatakan berjalan dengan lancar.

Kalau ada pun isu berbangkit mengenai salah satu dari 3R, ia bukanlah dalam kadar kekerapan, sebaliknya juga boleh dikatakan hanya kes-kes terpencil atau satu dua kes atau isu yang sengaja dicetuskan oleh golongan-golongan nakal.

Walaupun Dr. Mohd Na’im bukan dari kalangan ahli politik, beliau telah menunjukkan kepada rakyat Malaysia, yang dirinya dapat menangani apa saja isu berbangkit.

Mentadbir dan menjaga sesebuah kementerian dalam kerajaan persekutuan tidak semestinya perlu kepada orang politik, orang bukan politik seperti Dr. Mohd Na’im pun terbukti boleh memikul amanah dan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai menteri.

Inilah rekod yang ditunjukkan anak kelahiran Kampung Baharu, Kuala Lumpur ini, apabila sepanjang lebih dua tahun bersama kerajaan Madani, segalanya berjalan lancar.

Beliau bukan seorang yang tergesa-gesa apabila berdepan dengan sesuatu isu yang timbul. Beliau seorang yang tenang dan menyelesaikan kes-kes berbangkit secara bijaksana. Umpama kata, menarik rambut dalam tepung, rambut tidak dibiarkan putus, tepung tidak dibiarkan berserak.

Begitulah Dr. Mohd Na’im. Setiap kenyataan balasnya bagi menjawab satu-satu isu juga tidak berbaur politik. Teguran, pandangan dan nasihatnya bersandarkan kepada hukum hakam Allah, undang-undang negara dan aturan Perlembagaan.

Oleh itu, keputusan Majlis Raja-Raja (MRR) memilih Dr. Mohd Na’im untuk mengetuai organisasi hal ehwal keagamaan di Jabatan Perdana Menteri sangat tepat sekali.

Tidak dinafikan, memang ada satu dua isu yang dianggap besar berlaku seperti penjualan stoking bertulis kalimah Allah dan sandwich ham yang menyalahgunakan logo halal di sebuah pasar raya runcit, tetapi dua kes itu telah diselesaikan dengan baik sehingga pihak berkenaan memohon maaf kepada seluruh umat Islam.

Kejayaan ini disebabkan sikap Dr. Mohd Na’im dapat mengekangkan isu itu daripada dipergunakan oleh parti-parti politik untuk mendapatkan sokongan masyarakat.

Kalaulah menterinya di kalangan ahli politik, nescaya kes stoking kalimah Allah dan sandwich ham akan meletup-letup dan media-media menjadi semakin galak untuk menyiarkan kejadian-kejadian yang berlaku.

Namun, mujurlah bahagian hal ehwal agama ini dijaga oleh insan biasa. Insan yang bukan dari kalangan orang politik. Insan yang kaya dan sarat dengan ilmu Allah.

Berbeza dengan kerajaan-kerajaan sebelum ini, menteri hal ehwal agama diberikan kepada orang politik. Maka, tidak menang tanganlah menteri politik menjawab dan mengulas setiap isu yang dibangkitkan musuh-musuh politiknya.

Dr. Mohd Na’im tidak ada musuh politik. Beliau selamat dari ‘diserang’ pihak-pihak tertentu, walaupun hakikatnya keberadaannya di kerusi itu tidak disenangi segelintir orang politik.

Sebagai orang bukan politik, sudah tentu Dr. Mohd Na’im tidak ada sesiapa yang dapat mempertahan dan membelanya. Beliau akan seorang diri membina perisai bagi melindungi dirinya daripada diperkotak-katikkan orang-orang politik.

Ini adalah resam politik. Sebab itu adat membuktikan politik tidak mengenal siapa, termasuk insan biasa yang tidak tahu berpolitik sekali pun. Sesiapa yang berada dalam lingkarannya, akan terkena tempiasnya.

Sikap iri hati yang telah menjadi darah daging dalam tubuh manusia politik, memang susah hendak dipadamkan. Justeru, pelantikan Dr. Mohd Na’im sekurang-kurangnya dapat menyeimbangkan antara politiking dengan kerja non partisan.

Tidak dinafikan, orang politik juga mempunyai kelulusan tinggi dan ilmu agama, tetapi hanya sekadar untuk kepentingan diri dan parti, tidak boleh digunapakai dalam pentadbiran negara mahupun ummah.

Contoh paling dekat ialah kes tiga penyampai sebuah radio swasta telah digantung kerja oleh majikannya kerana dalam rancangan yang dikendalikan telah secara sengaja atau tidak sengaja menyentuh sensiviti kaum bukan Islam.

Maka, geger riuhlah di seluruh negara mengenai kes itu. Ada yang pro dan ada yang kontra. Ada yang bantah permohonan maafnya dan ada juga yang sengaja memanjangkan isu itu.

Walaupun, kes itu dicetuskan oleh penyampai radia yang juga artis, tetapi serangan musuh politik ialah tertuju kepada Dr. Mohd Na’im. Mereka mendakwa menteri tidak pandai berikan kesedaran kepada rakyat dan macam-macam lagi.

Ini yang dikatakan, orang lain makan nangka, Dr. Mohd Na’im yang kena getah. Sedangkan, di awal pentadbirannya lagi dan berulang kali beliau menyatakan, agensi-agensi di bawah seliaannya sentiasa menyokong penuh penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan akan mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja yang terlibat dengan perbuatan menghina agama tanpa pilih kasih selaras dengan peruntukan undang-undang negara.

Kata Dr. Mohd Na’im lagi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau JAKIM akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dalam memastikan kes penghinaan Islam di bawa ke muka pengadilan.

Beliau dengan tegas dan jelas juga memberi amaran, mana-mana pihak yang menghina Islam akan dipanggil dan disiasat mengikut saluran undang-undang yang sedang berkuatkuasa.

Sepertimana proses siasatan dan pendakwaan kes-kes penghinaan Islam sebelum ini, ia menunjukkan bahawa kepentingan awam diambil kira bagi menjaga keharmonian bernegara.

Bahkan, perbuatan segelintir pihak yang tidak menghormati sensitiviti agama di negara ini hingga mencetuskan kegelisahan awam sebagai perbuatan yang amat dikesali.

Beliau juga, tidak pernah alpa daripada memberi nasihat, peringatan kepada semua pihak agar menghormati undang-undang serta proses siasatan yang sedang dilakukan oleh pihak berkuasa demi kepentingan negara.

Matlamatnya, kata Dr. Mohd Na’im ialah mengajak rakyat Malaysia bersama-sama membangunkan negara dengan semangat perpaduan demi kesejahteraan semua pihak.

Inilah kaedah yang diambil oleh seorang menteri yang diamanahkan menjaga hal ehwal agama. Beliau tidak berpolitik, jauh sekali mempunyai darah politik. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *