“LENSA TAFAKUR”
09/03/2025
Oleh: Mohd. Shah Abdullah
Ramadan mendidik kita untuk bersikap sederhana, pemurah, pengasih, penyayang dan sentiasa memilih jalan tengah. Hampir semua sifat-sifat kemuliaann Tuhan ada dalam Madrasah Ramadan.
Separuh Ramadan, kita patut bertanya sejauhmana kita telah menyerap dan mengamalkan kemuliaan sifat-sifat tersebut?
Sifat kesederhanaan memang sangat dianjurkan agama. Sederhana melawan serba-serbi, menentang keborosan, membazir, menyeleweng, pengotor, pengganas, pendek kata segala yang sinonim buruk mesti dilawan.
Dalam bulan puasa, sudahkah kita melawan sifat dan sikap membazir? Boros itu nyata sifat syaitan terkutuk tetapi itulah model ikutan sesetengah orang kita.
Sudahkah kita menitis airmata melihat sisa makanan yang masih elok dibuang ke longkang atau masuk bakul sampah?
Mengapa hanya berjurai airmata melihat sengsara rakyat Gaza kebuluran akibat perang sedangkan di sini kita ‘sengsara’ terlebih makanan.
Malaysia negara berteraskan Islam. Kita akan menyergah, mengamuk jika ada pihak yang mengusik teras dan sensitiviti agama kita. Jiwa kita cepat kacau, mudah terbakar, terluka dan terkucil bila agama kita dipersenda dan diperli.
Akan tetapi mengapa kita tidak bersungguh-sungguh memupuk dan mempromosi Islam sebagai agama penuh kemuliaan penuh dengan nilai-nilai kasih sayang, tasamuh, bersih, berakhlak, dan beradab. Islam Jalan Tengah, jalan kesederhanaan yang membawa paksi kasih sayang sesama insan, makhluk, dan alam buana ini.
Lihat satu misalan mudah, sejauhmana tahap dan amalan kebersihan fizikal di negeri-negeri yang diperintah oleh kerajaan berteraskan Islam. Mengapa kotor? Mengapa sampah dan sarap bertaburan, rumput tidak dipotong?
Itu belum dihitung jumlah tangkapan perasuah dan jumlah angka yang sudah memasuki angka billion? Inikah imej dan nuansa Islam? Bukankah agama menolak segala bentuk rasuah, penyelewengan, tumbuk rusuk, wang kopi, wang bawah meja dan apa lagi konotasi yang serupa?
Jika kita percaya Islam itu menganjurkan adab dan akhlak mulia, mengapa menyebarkan berita berbentuk fitnah lewat media sosial semakin bergentayangan? Berapa ramai yang sudah tersembam akibat berita fitnah dan palsu yang dicipta tanpa ada sekelumit bersalah dan berdosa?
Semua paradoks ini memberi imej negatif, gambaran buruk Islam sebagai agama indah, Rahmatan lil Alamin (Rahmat buat Seluruh Alam).
Kita berlumba-lumba untuk menunaikan umrah di tanah suci Makkah dan setahun sekali beratur menunggu giliran untuk menunaikan ibadah haji? Difahamkan suasana Ramadan kali ini sesak, hampir sejuta jemaah dari seluruh penjuru dunia sedang berpusu-pusu untuk meraih barakah berpuasa di tanah suci.
Amalan itu baik tanpa tanya lanjut. Akan tetapi mengapa usai semua ritual agama itu, imej orang Islam dan negara-negara Islam tetap sahaja tiada perubahan fundamental dan istimewa?
Malah dikatakan berlaku ‘trust deficit’ terhadap negara-negara dan umat Islam. Jika tidak masakan dengan mudah Gaza mahu sahaja dilelong gratis oleh paksi adikuasa dunia, Amerika Syarikat.
Sayugia Islam di Malaysia bukan ‘copy-cat’ negara-negara Arab Islam. Islam di Malaysia berevolusi dan berkembang secara organik. Islam di sini sudah menerima, menyerap dan berasimilasi dengan keperluan tempatan, menyesuaikan diri dengan kepelbagaian jamak budaya, bahasa, suku kaum, dan menerima inklusiviti.
Jubah dan serban menjadi pakaian rasmi dan harian orang Arab. Ia jadi simbol syiar orang Arab. Orang Islam di Malaysia turut memakainya. Akan tetapi ia bukan pakaian rasmi dan harian kita. Kita tetap memakai kain pelikat, berbaju Melayu, dan bersongkok. Kini semakin ramai suka memakai tanjak dan persalinan ala pahlawan Melayu. Adakah kita menjadi kurang Islam hanya simbol pakaian kita berbeza dengan orang Arab?
Orang Arab Yemen juga memakai kain pelikat. Apakah mereka kurang Islam berbanding kebanyakan orang Arab lain?
Orang Islam di Malaysia juga semakin gemar memakan nasi Arab. Namun itu pun bukan ukuran kita sudah menjadi Arab. Ia penyerapan berbentuk budaya tetapi bukan menjadi penerimaan total budaya kita. Makanan asli kita masih mengikut tradisi orang Melayu dan setiap negeri ada makanan aslinya. Kelantan ada nasi berlauk budu manakala di Negeri Sembilan masak lemak cili api sudah menjadi satu ‘trademark’.
Asimilasi dan penyerapan budaya itu menunjukkan bangsa kita kekal sederhana, tidak mudah meniru membabi buta, kita menerima kepelbagaian tetapi kekal sebagai bangsa Malaysia. Kita beragama pun mengikut mazhab kesederhanaan seperti anjuran empat mazhab utama dalam tradisi Ahli Sunnah wal Jamaah.
Sebab itu, kita tidak menerima fahaman dan aksi keganasan. Ia bukan budaya dan cara bawa orang Melayu Islam. Keganasan dan kekerasan hanyalah simbol kegilaan, kegagalan memahami teks agama dalam konteks masyarakat yang selalu rendang, nyaman dan damai nuansanya.
Pemuka, cerdik pandai dan ulama seperti Syeikh Abdullah bin Bayah, Syeikh Dr Ali Jum’aah, Syeikh Dr Usamah, Habib Omar, Dr Abdul Hakim Murad, Ustaz Dr Abdul Somad dan deretan ulama yang tiba mengisi program Madani semuanya memupuk, menganjurkan, dan mempromosi fahaman kesederhanaan.
Dari Penerapan Nilai-Nilai Islam, Islam Hadhari, Wasatiyyah dan kini gagasan Madani – semua slogan ini suci. Tujuan fundamentalnya untuk memberi gambaran Islam itu agama indah dan praktikal. Islam dalam satu pakej membawa misi pencerahan, kedamaian, kebaikan, kemakmuran dan paling penting Kesederhanaan.
Bertukarlah pemimpin dan kerajaan – semua mesti berbalik kepada fahaman kesederhanaan. Negara dan bangsa boleh hancur jika ditadbir pemimpin serta kerajaan mereng, separuh masak, tiada visi dan hala tuju.
Begitu juga negara dan bangsa boleh musnah jika pembangkang hanya tahu menembak peluru angin, tahu mengkritik tanpa solusi malah terlalu amat bahaya jika sekadar menggunakan modal agama sekadar untuk meraih populariti, mempertahankan kuasa dan ‘political expediency’.
Agama yang dibaurkan dengan permainan isu-isu perkauman lebih menjahanamkan. Emosi orang kita pasti mudah tergoda dan terjarah akibat permainan irama agama dan perkauman ini.
Ini semua akhirnya bermuara kepada kekerasan dan keganasan jika tidak dibendung ke akar umbi.
Mereka yang menabur angin patut menuai badai. Mengapa mahu memilih jalan keras, jalan tidak toleran, gasar dan keras?
Malaysia mesti kekal sebagai sebuah negara sederhana, mengikut Jalan Tengah, jalan kemakmuran dan kestabilan.
Riuh rendah politik jangan sampai mengorbankan asas dan teras pembinaan rukun bangsa dan beragama kita. Malaysia milik kita bersama.
Kita berkongsi satu cita, satu tekad, satu azam dan visi hidup bersama.
Bersama Ramadan kali ini kita serap semua nilai-nilai mulia Madrasah Ramadan – kita memilih Mazhab Tengah, jalan tengah, jalan kesederhanaan.
Penulis, Mohd. Shah Abdullah adalah bekas wartawan dan bekas Pensyarah dalam bidang Komunikasi dan Media. Fokus penulisan beliau ialah memperkukuhkan naratif Melayu-Islam dalam konteks masyarakat jamak budaya, selain tumpuan kepada aspek bahasa, sastera, seni, agama dan pemikiran.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001