07/03/2025:
PARIS – Chelsea menghampiri suku akhir Liga Konferens Eropah dengan kemenangan 2-1 di Copenhagen pada perlawanan pertama pusingan 16 akhir.
Reece James dan Enzo Fernandez menemui sasaran di babak kedua, sebelum Gabriel Pereira merapatkan jurang untuk tuan rumah.
Skuad kendalian Enzo Maresca mempertahankan kelebihan untuk dibawa pulang ke Stamford Bridge bagi aksi timbal balik minggu depan.
“Copenhagen adalah pasukan yang bagus, mereka bermain dengan baik, mempunyai jurulatih yang mahir, serta ramai pemain berbakat.
“Saya sentiasa gemuruh, tetapi sekarang fokus kami adalah untuk perlawanan seterusnya. Aksi timbal balik akan menjadi satu lagi perlawanan yang sukar,” kata Maresca.
Selepas permulaan hambar, kapten Chelsea, James memecah kebuntuan seminit selepas rehat apabila dia dan Marc Cucurella bergandingan menewaskan penjaga gol Copenhagen, Diant Ramaj.
Pemain gantian, Fernandez melebarkan jurang dengan jaringan pada minit ke-65 hasil gerakan menarik pemain remaja, Tyrique George.
11 minit sebelum tamat, Pereira yang tidak dikawal menanduk masuk bola untuk gol tunggal Copenhagen.
“Apabila anda pergi ke Stamford Bridge dan perlu menang dengan dua gol, anda memerlukan keajaiban. Kami tetap yakin, tetapi itulah realitinya,” kata pengendali Copenhagen, Jacob Neestrup. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001