18/02/2025:
PETALING JAYA – Sunzen Group Berhad (Sunzen), pemain mapan dalam produk kesihatan, peranti dan perkhidmatan perubatan serta kewangan malaysia dengan portfolio terpelbagai, telah memeterai Perjanjian Jual Beli Saham (SPA) dengan Pure Nutritional Products Sdn. Bhd. (Pure Nutritional).
SPA itu adalah untuk melupuskan anak syarikat milik penuhnya Sunzen Corporation Sdn. Bhd. (SCSB) dan Sunzen Lifesciences Sdn. Bhd. (SLSB), dengan jumlah RM17.3 juta.
SCSB dan SLSB, yang telah terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan bioteknologi serta produk kesihatan haiwan, melaporkan kerugian gabungan sebanyak RM4.1 juta bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2024.
Berikutan pelupusan itu, anak-anak syarikat yang merugikan ini tidak lagi menjadi sebahagian daripada Sunzen, membolehkan Kumpulan menumpukan pada perniagaan terasnya dan termasuk pembiayaan serta peranti perubatan.
Pengarah Urusan Kumpulan Sunzen Group Berhad, Teo Yek Ming berkata, pelupusan ini adalah langkah penting dalam mengoptimumkan portfolio perniagaan syarikat.
“Dengan keluar dari sektor kesihatan haiwan, yang mencatatkan kerugian dalam tempoh kewangan yang lalu, kami mengukuhkan kunci kira-kira dan meningkatkan keuntungan.
“Keuntungan pelupusan sekali sahaja sebanyak RM2.25 juta akan segera mengukuhkan kedudukan kewangan, membolehkan kami menyatukan dan meningkatkan ekosistem perniagaan terutama dalam segmen pertumbuhan tinggi,” katanya.
Kata beliau, dengan suntikan dana baharu itu, Sunzen berada pada kedudukan yang baik untuk mengukuhkan operasi terasnya.
Sebahagian besar hasil akan disalurkan ke dalam modal kerja untuk menyokong perniagaan yang semakin berkembang dalam produk kesihatan, peranti dan perkhidmatan perubatan serta pembiayaan pinjaman.
“Langkah ini sejajar dengan strategi perniagaan jangka panjang kami untuk memberi tumpuan kepada kemampanan.
“Kumpulan akan terus meneroka peluang baharu merentasi pelbagai industri, bertujuan untuk mewujudkan ekosistem individu dalam bidang produk kesihatan dan kesejahteraan, peranti dan perkhidmatan perubatan serta pembiayaan pinjaman, berusaha untuk menjadi sebuah pertubuhan perniagaan yang mampan dan jangka panjang,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001