SANTOS – Neymar menghadiri sesi latihan pertamanya bersama Santos dengan menaiki helikopter.
Bintang Brazil itu kembali ke kelab lamanya, yang kini beraksi di Serie B, untuk kontrak enam bulan – dan boleh dilanjutkan untuk setahun lagi – dengan sasaran mencapai prestasi terbaiknya menjelang Piala Dunia 2026.
Menurut media Brazil, Neymar menggunakan helikopter sebagai pengangkutannya untuk berlatih kerana dia belum membeli rumah di Santos.
Dia dilaporkan akan membeli rumah agam baharu di Morro de Santa Terezinha, kawasan berprestij di Santos.
Ketika ini, Neymar terpaksa mengharungi perjalanan sejauh 500 kilometer dari kediamannya di Mangaratiba, Rio de Janeiro – di mana dia tinggal bersama isterinya, Bruna Biancardi dan anak mereka.
Neymar juga mempunyai kediaman lain di rantau itu, rumah agam yang mempunyai safari dengan lebih 500 ekor haiwan di dalamnya.
Di usia 17 tahun, Neymar lolos ke skuad utama Santos pada tahun 2009 dan kerap membarisi kesebelasan utama sehingga musim panas 2013, apabila dia bersetuju menyertai Barcelona.
Dia meledak 134 gol dalam 220 penampilan untuk Santos. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252