RIYADH – Arab Saudi mengumumkan rombakan dasar visa secara besar-besaran yang mengehadkan pengembara dari 14 negara kepada visa kemasukan tunggal untuk pelancongan, perniagaan dan lawatan keluarga, bermula 1 Februari lalu.
Memetik laporan media antarabangsa, dasar itu akan menggantung visa berbilang kemasukan (MEV) satu tahun untuk Algeria, Bangladesh, Mesir, Ethiopia, India, Indonesia, Iraq, Jordan, Maghribi, Nigeria, Pakistan, Sudan, Tunisia dan Yaman.
Menurut pihak berkuasa tempatan, perubahan itu didorong oleh keperluan untuk membanteras jemaah haji haram.
Jelasnya, sesetengah pelawat bawah program visa jangka panjang, memilih menetap lebih lama untuk bekerja secara haram atau menunaikan haji di luar saluran rasmi yang sebenarnya terhad kepada jemaah haji lulusan Kerajaan Arab Saudi.
Bawah peraturan visa yang baharu itu, pengecualian diberikan kepada visa haji atau umrah, visa diplomatik atau rasmi, dan pemegang permit pemastautin.
Seterusnya, visa kemasukan tunggal saja pula sah selama 30 hari dengan penginapan maksimum 30 hari.
Tujuan yang terkesan pula ialah pelancongan, perniagaan dan lawatan keluarga, manakala MEV satu tahun digantung.
Pihak berkuasa mengesahkan peraturan itu bersifat sementara tanpa menyatakan tempoh masa untuk semakan semula.
Arab Saudi mengeluarkan kuota jemaah haji secara tahunan, dengan permit khusus diperlukan untuk menunaikan ibadah berkenaan.
Bagaimanapun, Kerajaan Arab Saudi telah lama bergelut dengan golongan yang menggunakan visa bukan haji dan memasuki Makkah ketika musim ibadah itu.
Sebelum ini, pegawai Arab Saudi memaklumkan bahawa lebih 1,200 jemaah meninggal dunia ketika menunaikan haji pada 2024.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252