JOHOR BAHRU – Polis berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian membakar kereta milik isterinya pada Ahad.
Lelaki itu ditahan di Bukit Pasir, Batu Pahat pada jam 12.20 tengah malam tadi kerana khianat dengan api ke atas sebuah kereta Toyota Vios.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, polis turut merampas sebuah Toyota Vellfire yang digunakan suspek berusia 25 tahun itu ketika kejadian.
“Bertindak atas maklumat polis menyerbu premis di Bukit Pasir, Batu Pahat dan Taman Sri Tebrau di sini. Suspek akan direman pagi ini,” katanya.
Kelmarin, Raub dilaporkan berkata polis sedang memburu suspek kes khianat di persimpangan lampu isyarat Jalan Tebrau berhampiran Hospital Columbia di sini, jam 10.20 malam, Ahad lalu.
Katanya, berdasarkan video berdurasi 28 saat yang tular memaparkan sebuah Toyota Vios warna putih milik seorang wanita warga tempatan berusia 21 tahun disimbah dengan petrol dan dibakar seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati suspek tiba-tiba muncul dan menyekat kenderaan yang dinaiki mangsa sebelum menyimbah petrol ke atas kenderaan itu.
Suspek kemudian menyalakan api dan terus melarikan diri menaiki kenderaan jenis Toyota Vellfire.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252