Zambry sahkan terima surat peletakan jawatan Naib Canselor UKM

Zambry sahkan terima surat peletakan jawatan Naib Canselor UKM

TANJONG MALIM – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman beberapa hari lalu.

Zambry berkata, pihaknya menerima peletakan jawatan itu kerana Mohd Ekhwan memberikan sebab mahu menumpukan perhatian terhadap perkara lain.

“Beliau sudah menjalankan tugas dengan baik, turut dihormati oleh rakan-rakan, beliau telah menjadi NC (Naib Canselor) dan telah disambung, jadi atas kapasiti itu beliau merasa telah sampai masa (meletak jawatan),” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Uzbekistan di Universiti Pendidikan Sultan Idris di sini hari ini.

Terdahulu media melaporkan Mohd Ekhwan mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Naib Canselor UKM berkuat kuasa Ahad lalu.

Mohd Ekhwan kali pertama dilantik bagi jawatan itu pada 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2023 sebelum perkhidmatannya disambung semula.

Sementara itu, Zambry berkata, beliau menghormati keputusan tersebut dan memberitahu pelantikan baharu akan melalui proses biasa serta akan diumumkan kemudian.

Beliau turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas khidmat Mohd Ekhwan selama menjawat jawatan itu. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *