PETALING JAYA – Dua suspek yang dipercayai menembak mati pegawai kanan polis di Thailand berkemungkinan tidak berada di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak termasuk Polis Diraja Thailand berkenaan kes terbabit.
“Kita bertindak (siasat) berdasarkan laporan berita yang dilaporkan media kerana tidak ada penjenayah dari sana (Thailand) masuk ke sini.
“Kemungkinan kedua-dua mereka tidak mahu berada di negara ini,” katanya kepada media di Majlis Apresiasi Op Selamat 23 di Persada PLUS di sini hari ini.
Razarudin berkata, pihaknya sentiasa memperketat kawalan keselamatan di pintu sempadan serta jalan tikus berhampiran Sungai Golok, Kelantan.
Menurutnya, ia bagi menangani isu ketirisan barang kawalan daripada diseludup masuk dan keluar.
“Ini termasuk pangkalan haram atau jalan tikus menjadi tempat mereka menyeludup.
“Sehingga ini, rampasan kira-kira RM400,000 di Sungai Golok dalam masa dua bulan dilakukan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA), Biro Jenayah Hidupan Liar (WCB) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU),” katanya.
Pada 24 Januari lalu, media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam keadaan waspada berikutan dua suspek kes bunuh seorang pegawai polis berkemungkinan melarikan diri ke negara ini.
Suspek dikenali Abdullah Samok, 30 dan Abdullah Bulat, 40, masing-masing berasal dari daerah Chanae dan Rueso di Thailand.
Razarudin dilaporkan berkata, dua suspek berkenaan berkemungkinan melarikan diri ke Malaysia untuk bersembunyi di kawasan hutan sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Kejadian dilaporkan berlaku pada 14 Januari lalu membabitkan suspek yang dikatakan mempunyai 14 waran tangkap pelbagai kesalahan berkaitan isu keselamatan.
Dalam kejadian itu, mangsa, Leftenan Kolonel Suwit Chuaythewarit, 56, dan anaknya, Senior Sarjan Mejar, Dome Chuaythewarit, 35, maut dalam satu serangan hendap di Narathiwat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001