Remaja perempuan maut dibaham jerung di timur Australia

Remaja perempuan maut dibaham jerung di timur Australia

SYDNEY – Seekor jerung menggigit dan membunuh seorang gadis berusia 17 tahun ketika berenang di perairan timur Australia pada Isnin, menjadikannya serangan maut ketiga yang dilaporkan di negara itu dalam tempoh lebih lima minggu.

Pasukan paramedik bergegas ke Pantai Woorim di Queensland untuk merawat remaja berkenaan yang mengalami kecederaan serius pada badan, menurut jurucakap perkhidmatan ambulans.

Menurut polis, mangsa diserang jerung itu ketika berenang pada waktu petang di lokasi luncur popular di Pulau Bribie, kira-kira 50 kilometer di utara ibu negeri Brisbane.

“Mangsa mengalami kecederaan yang mengancam nyawa dan meninggal dunia akibat kecederaan itu kira-kira 15 minit kemudian,” kata jurucakap polis Queensland.

Polis akan menyediakan laporan untuk dihantar kepada koroner.

Ini serangan jerung maut kedua yang dilaporkan di Australia tahun ini, selepas seorang saksi melihat jerung menyerang seorang peluncur berusia 28 tahun di pantai Granites, Australia Selatan, pada 2 Januari.

Beberapa hari sebelum itu, pada 28 Disember, seekor jerung menggigit leher seorang pastor berusia 40 tahun sehingga maut ketika dia menangkap ikan dengan tombak di Taman Negara Kepulauan Keppel Bay, Queensland, yang terletak di kawasan Terumbu Karang Besar.

Dalam serangan terbaru ini, seorang penduduk tempatan memberitahu akhbar Courier-Mail yang berpangkalan di Brisbane, polis berlari ke dalam air untuk membantu mangsa tetapi gagal menyelamatkannya.

“Setiap hari ada laporan kelibat jerung kelihatan,” kata saksi, John Wadey.

“Orang ramai tidak mengatakan apa-apa. Ia adalah perkara biasa.”

Sejak 1791, lebih daripada 1,200 serangan jerung direkodkan di Australia, dengan lebih daripada 250 daripadanya berakhir dengan kematian, menurut pangkalan data nasional.

Kebanyakan serangan serius membabitkan jerung putih, yu garang (bull sharks), dan jerung harimau.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *