BOGOTA – Pempengaruh Colombia, Daneidy Barrera Rojas atau dikenali Epa Colombia, dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas merakamkan dirinya merosakkan harta awam ketika protes.
Oddity Central melaporkan, pada November 2019, Colombia digemparkan dengan protes ganas terhadap kerajaan pentadbiran bekas presiden Ivan Duque.
Ketika itu, pempengaruh Epa Colombia memuat naik video dirinya merosakkan stesen pengangkutan awam di sini, memecahkan tingkap, pembaca kad, dan daftar akses menggunakan tukul, dan mengecat dinding dengan cat semburan.
Video itu pantas menjadi tular hingga mendapat banyak perhatian dalam talian namun turut menjadi topik penyiasatan hingga Epa Colombia dijatuhi hukuman penjara awal tiga setengah tahun kerana melakukan kerosakan harta benda dan gangguan pengangkutan awam.
Epa Colombia kemudiannya memohon maaf atas tindakannya namun ia tidak membantu kerana Pejabat Pendakwa Raya membuat rayuan dan berjaya apabila pempengaruh berkenaan dikenakan hukuman penjara lima tahun dan denda bersamaan 493 gaji minimum bulanan.
Peguam bela Epa Colombia mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Agung Keadilan untuk mengurangkan hukumannya.
Bagaimanapun, mahkamah pada 27 Januari mengekalkan hukuman sebelumnya dan mengarahkan penahanannya yang sudah dijalankan.
Menerusi video yang tular, usahawan dan pempengaruh popular itu dilihat menangis susulan hukuman dikenakan terhadapnya.
“Mereka (polis) akan menangkap saya tetapi saya meminta mereka menunggu sehingga peguam saya berada di sana.
“Betapa sedihnya meninggalkan salon rambut saya dan seluruh pasukan kerja saya melihat saya dibawa ke muka pengadilan.
“Saya sentiasa mahu membetulkan TransMilenio (syarikat pengangkutan awam Colombia), membayarnya, dan menambah baik dalam tempoh lima tahun ini,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001