Harga kelapa, bunga melur melonjak menjelang Thaipusam

Harga kelapa, bunga melur melonjak menjelang Thaipusam

KUALA LUMPUR – Menjelang perayaan Thaipusam, penganut Hindu serta peniaga barangan keperluan keagamaan berdepan cabaran akibat kekurangan bekalan dan kenaikan harga ketara, khususnya bagi kelapa dan bunga melur.

Tinjauan mendapati harga kelapa, yang digunakan dalam upacara pemujaan serta masakan perayaan, meningkat berikutan permintaan tinggi dan bekalan terhad.

Pemilik kedai barangan sembahyang di Pudu, Jayabalan Ramasamy, 57, berkata kelapa biasanya digunakan dalam dua bentuk—untuk dipecahkan secara ritual dan sebagai bahan masakan.

“Upacara memecahkan kelapa kebiasaannya dilakukan dalam jumlah besar, boleh mencapai 108 biji sekali gus, manakala kelapa bersaiz lebih besar digunakan untuk memasak,” katanya.

Menurutnya, kelapa kini dijual pada harga antara RM2.80 hingga RM3.00 sebiji, tetapi kedainya masih mengekalkan harga RM2.50.

“Sebelum ini, kami menjual pada harga lebih rendah, namun terpaksa menaikkannya sebelum Tahun Baharu kerana bekalan berkurangan dan harga daripada pemborong semakin tinggi.

“Kadangkala pembekal sendiri mengalami kesukaran mendapatkan bekalan, menyebabkan mereka membeli daripada sumber lain pada harga lebih tinggi,” katanya.

Seorang pekerja kedai barangan sembahyang, N Balamurugan, 38, turut mengakui harga kelapa meningkat ketara berbanding tahun sebelumnya.

“Sebelum ini, bekalan kelapa lebih stabil, tetapi kini semakin sukar diperoleh. Saya difahamkan keadaan ini berpunca daripada cuaca tidak menentu serta peningkatan permintaan menjelang Thaipusam.

“Dulu, kami menjual kelapa pada harga RM2.50 sebiji, tetapi kini terpaksa menaikkannya kepada RM3 kerana kekurangan bekalan,” katanya.

Bunga Melur Laris, Harga Melonjak

Selain kelapa, harga bunga melur yang sering digunakan dalam ritual keagamaan dan sebagai perhiasan rambut wanita turut meningkat.

Seorang pekerja kedai bunga di Jalan Masjid India yang hanya mahu dikenali sebagai Thiagu berkata permintaan tinggi menjelang Thaipusam menyebabkan harga bunga melambung.

“Kebiasaannya, harga bunga melur sekitar RM30 sekilogram, tetapi kini boleh mencecah RM50 kerana bekalan terhad. Bagaimanapun, harga dijangka kembali normal dalam tempoh seminggu selepas perayaan,” katanya.

Thaipusam akan disambut oleh penganut Hindu pada 11 Februari ini. — BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *