KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Putra) menyatakan rasa tersinggung dengan kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung gesaannya kepada PBT untuk mengekalkan penjualan arak mengikut status quo termasuk di tempat majoriti orang Islam.
Setiausaha Agungnya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif turut hairan apa keperluan arak dijual di kawasan yang dalam amalan kehidupan penduduk majoritinya tidak mengamal atau membeli produk arak itu.
“Apakah status quo ini wahyu tuhan hingga tidak langsung boleh diubah mengikut kesesuaian kawasan dan tanpa penelitian ada atau tidak permintaan tinggi di kawasan berkenaan?
“Menteri KPKT sudah menunjukkan belang dan sekali lagi memperleceh rakyat beragama Islam.
“Beliau sebagai orang politik lama kini semakin hilang nilai kefahaman mengenai moral dan rasa hormat kepada penganut agama Islam yang secara umum tahu orang Islam tidak meminum atau mengkonsumsi arak dalam kehidupan harian,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Menurut beliau, Kor Ming sepatutnya sedar arak yang dijual secara terbuka akan memberi kesan buruk kepada nilai moral jika tidak dikawal penggunaannya.
Bahkan, katanya, negara jiran seperti Thailand boleh diambil contoh apabila jualan arak di kedai serbaneka atau pasar mini di sana diletakkan dalam peti sejuk dengan tinted hitam.
“Manakala masa jualannya pula adalah pada masa-masa tertentu bukan sepanjang masa. Contoh seperti ini kenapa Menteri KPKT tak nak jadikan iktibar demi menjaga keamanan, keharmonian dan perpaduan komuniti di kawasan yang tidak perlukan penjualan arak?
“Lesen penjualan arak oleh PBT yang dihadkan khusus di kedai serbaneka dan pasar mini ini wajar diperkenalkan dan terhad kepada kawasan yang penduduknya bercampur dengan jumlah penganut agama Islam di sesuatu tempat kurang daripada 60 peratus.
“Inilah semangat muhibah yang boleh diterapkan kerajaan dalam usaha membangunkan semangat perpaduan, bukan menetapkan sesuatu solusi mengikut emosi dan keghairahan kerana mempunyai kuasa,” ujar beliau.
Nasrul Ali Hasan menjelaskan, menteri dari DAP itu nampaknya sudah tidak fokus untuk memperkasa kemakmuran negara.
“Nilai moral demi masa depan negara dan keharmonian jangka panjang juga nampak seperti dianak tirikan.
“Oleh itu, Putra sarankan kepimpinan DAP boleh pertimbang keahlian Nga Kor Ming sebagai seorang pemimpin kerajaan dan parti sekiranya beliau terus menerus mempertahan agenda yang akan memecahbelahkan perpaduan dan tidak lagi menghayati sentimen saling hormat menghormati agama Islam yang dianuti majoriti rakyat serta telah termaktub sebagai agama bagi Persekutuan Malaysia.
“Jika inilah sikap seorang pemimpin di negara ini, Putra gesa agar beliau letak jawatan dan serahkan kepada orang yang lebih kompeten dan berjiwa besar dalam membina komuniti sejahtera di Malaysia,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
