MCA Jangan Politikkan Larangan Penjualan Arak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI)

MCA Jangan Politikkan Larangan Penjualan Arak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI)

KUALA LUMPUR – Isu larangan jualan arak di kawasan majoriti Melayu, khususnya dalam daerah Manjoi, Perak telah ditetapkan sejak 2020/2021 lagi, kata Timbalan Pengerusi Parti Amanah, Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Beliau berkata, ketetapan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu diambil atas desakan majoriti orang Islam serta mengambil kira sensitiviti pengharaman arak mengikut prinsip ajaran Islam.

Katanya, isu larangan itu jika hendak dilaksanakan di luar kawasan yang diputuskan akan dibincangkan dan diteliti, sebelum dikuatkuasakan dengan mengambilkira pandangan menyeluruh masyarakat setempat.

“Perkara ini jelas disebut oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin. Justeru, MCA dan pihak lain tidak perlu memutarbelitkan kenyataan ini atau membesar-besarkannya untuk selera serta kepentingan politik sempit mereka.

“MCA Perak tidak perlu mempolitikkan isu ini semata-mata untuk meraih sentimen sokongan masyarakat bukan Melayu dalam persaingan politik terutama untuk berdepan dengan pengaruh DAP.

“Sepatutnya MCA bersaing secara sihat untuk meraih sokongan, bukan dengan mengeksploitasi isu sensitif seperti penjualan arak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga mengingatkan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) itu agar jangan kerana hendak membuktikan mereka “lebih berani daripada DAP dalam hal arak” menjadikan isu penjualan arak sebagai pertaruhan, kerana ia berisiko menggugat keharmonian keseluruhan segmen masyarakat berbilang kaum dan agama di Perak.

“Banyak lagi isu lain yang boleh dikritik untuk membangunkan Perak di bawah dasar Perak Sejahtera 2030.

“Sebagai parti komponen Kerajaan Perpaduan, MCA patut menyatukan rakyat berbagai kaum dan agama di Perak melalui nilai politik inklusif dan progresif serta memahami sensitiviti semua kaum dan agama selaras prinsip menjunjung kedaulatan undang-undang.

“Saya mengajak MCA untuk sama-sama menangani isu kesan ketagihan arak yang lebih serius dan parah dalam masyarakat sehingga mencetuskan pelbagai masalah kesihatan, keruntuhan rumah tangga, membahayakan keselamatan di jalan raya dan keganasan rumah tangga akibat arak daripada memetik isu penjualannya demi meraih sokongan politik dalam persaingan segmen pengundinya,” ujar beliau. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *