KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan tindakan kerajaan menyembunyikan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong sehingga perkara itu terbongkar setahun kemudian.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata, kerajaan menerusi beberapa pihak terlibat tidak seharusnya menganiayai orang yang berhak mendapat pengampunan menerusi adendum berkenaan.
“Pelbagai persoalan timbul selepas setahun Titah Adendum itu disembunyikan dan seolah tidak ada usaha ke arah melaksanakan titah tambahan dari Yang di-Pertuan Agong itu.
“Kenyataan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengenainya juga membuktikan beliau sebenarnya tahu titah itu wujud.
“Adakah beliau sedar Titah addendum itu dikeluarkan pada 29 Januari 2024 dan pada masa itu, Sultan Pahang masih lagi menjawat jawatan sebagai YDPA ke 16?,” soal beliau dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut Irwan Fahmi, kedangkalan Shamsul juga menyerlah apabila mempertikaikan titah itu perlu dibuat melalui Istana Negara bukan Istana Pahang.
Ini tegasnya, merupakan satu kesilapan besar yang tidak boleh diterima kerana Titah Adendum itu dikeluarkan melalui Istana Negara dan ketika itu juga Sultan Pahang masih lagi menjadi YDPA.
“Bahkan, Istana Pahang sekali lagi mengeluarkan Titah Adendum untuk memperakukan wujudnya titah berkenaan yang pernah di keluarkan melalui Istana Negara sebelum ini.
“Cumanya titah ini tidak diberitahu secara umum bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mendapat pengampunan, tetapi malangnya telah dinafikan hak oleh kerajaan.
“Sebelum ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendakwa Titah Adendum tersebut hanya khabar angin, tapi hari ini terbukti apabila segala teka teki mengenainya terjawab apabila,” katanya.
Justeru, katanya. Perkasa mohon campur tangan pihak istana untuk menyelesaikan kemelut itu agar dapat diselesaikan segera. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001