SANDAKAN – Suasana tenang awal pagi bertukar cemas apabila satu kebakaran besar memusnahkan puluhan kediaman dalam kejadian di kawasan penempatan padat di Sandakan hari ini, menyebabkan penduduk bertempiaran menyelamatkan diri.
Dalam kejadian di Jalan Bokara, Kampung Karamunting, kira-kira 30 rumah dilaporkan musnah terbakar dipercayai berpunca daripada struktur rumah yang rapat antara satu sama lain.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.16 pagi sebelum seramai 21 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, setibanya pasukan bomba di lokasi, kebakaran didapati sudah merebak dengan cepat melibatkan kawasan yang luas, sekali gus memerlukan tindakan segera bagi mengawal api daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran air utama dengan bantuan sumber air daripada pili bomba berhampiran bagi memastikan api dapat dikawal secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, kebakaran itu melibatkan kawasan seluas kira-kira 1.4 hektar, namun berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.29 pagi hasil tindakan pantas dan koordinasi berkesan pasukan penyelamat.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kecekapan anggota bomba berjaya mengelakkan kemusnahan lebih besar apabila kira-kira 100 rumah lain di kawasan berhampiran dapat diselamatkan daripada turut dijilat api.
Operasi pemadaman dan pemeriksaan keselamatan diteruskan sehingga jam 7.01 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya selepas pihak bomba memastikan tiada lagi sisa kebakaran atau risiko bahaya lain di lokasi.
Walaupun kebakaran tersebut menyebabkan kerosakan besar kepada harta benda, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini. Namun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Kejadian ini sekali lagi menimbulkan kebimbangan terhadap risiko kebakaran di kawasan penempatan padat, khususnya melibatkan rumah-rumah yang dibina rapat serta mudah terdedah kepada penyebaran api dalam tempoh singkat.
Berita ini diolah semula oleh Siti Khadijah Manudin, pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L