Haikal PO Baharu MMRP

Haikal PO Baharu MMRP

Oleh: Abd Ghaffar Daud

RANTAU PANJANG – Mohamad Harris Haikal Hassan, 22, dari Kampung Gual Tok Deh dekat sini, dilantik sebagai Pembantu Operasi (PO) baharu Maahad Muhammadi Rantau Panjang (MMRP).

Beliau memulakan tugas di peringkat percubaan minggu lalu bagi menggantikan mantan PO yang bersara wajib hampir dua bulan.

“Terima kasih kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) kerana menyegerakan pengganti PO, sekali gus meringankan beban saya di pejabat.

“Sebelum ini saya terpaksa menggalas dua tugas iaitu tugasan PT dan PO,” kata Pembantu Tadbir (PT), Nazirah Md. Yusoff ketika ditemui di sini.

Katanya, sepanjang minggu lalu, beliau mula mengajar Haikal mengenai tugas pejabat seperti merekodkan surat keluar dan masuk, menaip sijil tamat belajar pelajar, mencatat guru dan kakitangan bercuti atau berkursus di papan putih pejabat.

Selain itu, beliau turut menjalankan tugasan rutin PO iaitu menyusun fail, mengagihkan surat kepada guru yang telah diminitkan oleh mudir dan mencetak dokumen penting dengan mesin fotostat.

“Alhamdulillah, setakat ini, walaupun Haikal petugas baharu, apa saja tugasan diberikan, dia dapat melakukan dengan baik sekali.

“Insya-Allah, sehari dua lagi saya akan memintakan Haikal ke Kompleks Pentadbiran YIK, Tunjong berurusan di beberapa unit di sana dan menjelaskan bil air serta elektrik,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Harris Haikal berkata, beliau akan menjalankan tugas-tugas pejabat sebagai pembantu kerani apabila diminta PT sebagaimana pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

“Terima kasih pihak YIK mengambil saya sebagai pengganti kekosongan jawatan Pembantu Operasi di MMRP ini,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, kerja-kerja pejabat tidak memenatkan berbanding sebelum ini beliau bertukang rumah bersama bapanya selepas tamat belajar dengan memperoleh kepujian dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) empat tahun lalu. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *